Home Buletin Semasa LELAKI MELECUR, TIGA RUMAH HANGUS DIJILAT API

LELAKI MELECUR, TIGA RUMAH HANGUS DIJILAT API

60
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

RANTAU PANJANG: Tiga buah rumah separuh kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Lubok Setol di sini awal pagi tadi, manakala seorang lelaki mengalami kecederaan pada bahagian kaki.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 31 tahun itu dilaporkan melecur 20 peratus pada kaki akibat kebakaran berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Kanan Hamzah Musa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi talian MERS 999 pada jam 11.51 malam sebelum menggerakkan anggota dari BBP Rantau Panjang, BBP Kemahang, BBP Pasir Mas serta sebuah jentera tangki air dari BBP Tanah Merah ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 12.05 tengah malam dan mendapati kebakaran membabitkan tiga buah rumah jenis separuh kekal.

“Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga rumah berkeluasan kira-kira 50 x 60 kaki persegi seunit itu musnah 100 peratus,” katanya ketika dihubungi kru IMedikel TV, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebakaran turut menyebabkan sebuah surau mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus selain sebuah kereta jenis Proton Waja musnah sepenuhnya.

Katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan dua pancutan bagi mengawal serta memadam kebakaran daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.04 pagi sebelum anggota meneruskan kerja-kerja pemadaman dan pemeriksaan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.

“Dalam kejadian itu, seorang lelaki dilaporkan melecur 20 peratus pada bahagian kaki dan dihantar menggunakan ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Pasir Mas,” katanya.

Operasi pemadaman membabitkan seramai 23 anggota bomba.

Sebanyak lima jentera digunakan dalam operasi tersebut iaitu dua Light Fire Rescue Tender (LFRT), sebuah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah jentera tangki air, sebuah Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah pacuan empat roda.

Bagaimanapun punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here