Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Pengamal media dan wartawan perlu terus mempertahankan integriti serta kepercayaan masyarakat dalam melaksanakan tugas, terutama ketika berdepan cabaran teknologi khususnya kecerdasan buatan (AI).
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, dalam dunia kewartawanan hari ini, penyampaian maklumat bukan sahaja perlu pantas, malah mestilah tepat, sahih dan berintegriti bagi memastikan masyarakat memperoleh maklumat yang benar serta boleh dipercayai.
“Cabaran di era teknologi digital dan kecerdasan buatan pada hari ini, dunia media menjadi semakin kompleks. Oleh sebab itu, masyarakat amat memerlukan pengamal media yang berpegang teguh kepada etika kewartawanan dan menjadikan kebenaran sebagai asas utama dalam setiap laporan yang diterbitkan.
“Apabila integriti itu dipelihara, media akan terus dihormati sebagai institusi yang berwibawa dalam membentuk pemikiran dan mencorakkan pembangunan masyarakat serta negara. Kita hendaklah sedar bahawa media adalah antara institusi yang mempunyai pengaruh besar dalam membentuk pemikiran dan kefahaman masyarakat,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Peringkat Negeri Kelantan 2026 yang berlangsung di sini malam tadi.
Katanya nilai keyakinan dan kepercayaan adalah aset paling berharga dalam bidang kewartawanan kerana hanya melalui kepercayaan masyarakat, sesuatu laporan dapat mencapai tujuan dan matlamatnya.
“Media mempunyai pengaruh besar dalam membentuk pemikiran dan kefahaman masyarakat.
“Apabila kepercayaan hilang, berita tidak lagi membawa pengaruh dan peranan media sebagai sumber maklumat yang diyakini akan terjejas,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa media yang berintegriti akan terus dihormati sebagai institusi berwibawa dalam membentuk pemikiran rakyat serta mencorakkan pembangunan masyarakat dan negara.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengamal media yang selama ini memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat serta merakyatkan pelbagai dasar, program dan inisiatif kerajaan.
“Wartawan bukan sahaja menjadi penyampai maklumat, malah berperanan mendokumentasikan pelbagai peristiwa penting negeri dan negara untuk rujukan generasi akan datang.
“Wartawan adalah rakan strategik kepada kerajaan dan masyarakat. Teruslah menjadi jambatan yang menghubungkan pelbagai pihak dalam membina persefahaman, kestabilan dan kesejahteraan bersama,” katanya.
Beliau turut menyeru pengamal media supaya memanfaatkan platform dan kemahiran penulisan yang dimiliki untuk memperkukuhkan perpaduan masyarakat, menyuburkan kesatuan ummah serta meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan agama, bangsa dan tanah air.
“Gunakanlah pena dan platform yang dimiliki untuk mengajak masyarakat meletakkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air sebagai keutamaan demi membina masa depan negeri dan negara yang lebih aman, maju dan sejahtera,”katanya.
Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa menghargai komitmen warga media dalam menyampaikan perkembangan pembangunan negeri kepada rakyat dan berharap hubungan kerjasama erat antara kerajaan serta pengamal media dapat terus diperkukuhkan demi kepentingan bersama.
IMedikel TV






