Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: IMedikel TV mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih tempat kedua dalam kategori Laporan Khas Berita TV Terbaik pada Anugerah Media Kelantan (AMK) sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Peringkat Negeri Kelantan 2026 yang berlangsung malam tadi.
Kejayaan itu diraih menerusi laporan khas bertajuk “Putihkan Gigi Dengan Selamat dan Berkesan”, yang menampilkan kupasan mengenai aspek keselamatan, keberkesanan serta kepentingan mendapatkan rawatan pemutihan gigi daripada pengamal bertauliah.
Pencapaian itu lebih bermakna apabila ia adalah penyertaan sulung IMedikel TV dalam anugerah berprestij yang menghimpunkan pengamal media dari seluruh Kelantan.
Majlis yang berlangsung meriah itu mempertandingkan sembilan kategori membabitkan pelbagai platform media termasuk media cetak, televisyen serta radio.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang turut menyampaikan anugerah kepada para pemenang.
Kejayaan meraih naib juara kategori Laporan Khas Berita TV Terbaik itu menjadi pengiktirafan penting terhadap usaha dan komitmen warga IMedikel TV dalam menghasilkan laporan berita berkualiti serta berimpak kepada masyarakat.
Pencapaian tersebut juga membuktikan keupayaan media baharu itu untuk bersaing dengan organisasi media yang lebih lama bertapak dalam industri kewartawanan, sekali gus menjadi pemangkin kepada IMedikel TV untuk terus memperkukuhkan mutu penyampaian berita dan kandungan semasa pada masa hadapan.
Anugerah Media Kelantan 2026 adalah antara acara bagi sambutan HAWANA di peringkat negeri yang bertujuan mengiktiraf kecemerlangan karya kewartawanan serta menghargai sumbangan pengamal media kepada pembangunan masyarakat dan negara.
IMedikel TV






