EAST RUTHERFORD: Brazil terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Maghribi dalam aksi pembukaan Kumpulan C Piala Dunia, hari ini, dengan jaringan menarik Vinicius Junior memadam kelebihan yang diraih lawan menerusi Ismael Saibari.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Maghribi memulakan perlawanan lebih meyakinkan dan membuka jaringan pada minit ke-21 apabila Saibari menyudahkan serangan balas pantas dengan berlari di bahagian tengah sebelum menyempurnakan hantaran tepat Brahim Diaz.
Pasukan Afrika Utara itu menguasai sebahagian besar babak pertama dan hampir menambah jaringan sebelum Brazil menyamakan kedudukan menerusi sentuhan berkualiti Vinicius.
Bintang Real Madrid itu melakukan gerakan dari sebelah kiri sebelum melepaskan rembatan kaki kanan yang melengkung cantik ke penjuru atas gawang pada minit ke-32.
Brazil tampil lebih baik selepas rehat hasil beberapa pertukaran pemain yang dilakukan jurulatih, Carlo Ancelotti apabila mereka lebih banyak mengasak dan menguasai permainan.
Bagaimanapun, Selecao gagal menembusi benteng pertahanan Maghribi yang bertahan dengan cukup berdisiplin sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berkongsi satu mata.-Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






