Home Luar Negara RUANG UDARA RUSSIA CETUS KETEGANGAN INDUSTRI PENERBANGAN

RUANG UDARA RUSSIA CETUS KETEGANGAN INDUSTRI PENERBANGAN

163
0

ISTANBUL: Perkembangan pesat industri pelancongan antara Asia dan Eropah dalam keadaan Russia menutup ruang udara membingungkan syarikat penerbangan Barat, sambil membuktikan keuntungan bagi mereka daripada negara tidak bersekutu yang tidak tertakluk kepada kemarahan Moscow.

Bagi syarikat penerbangan dalam senarai hitam ruang udara Russia, menghindari negara yang menjangkaui 11 zon waktu di Eropah dan Asia adalah satu saranan mahal.

Perjalanan di luar Russia membuatkan jarak lebih jauh serta masa penerbangan lebih lama.

Laluan penerbangan Paris-Beijing merentasi Russia adalah kira-kira 8,400 kilometer, manakala menyusuri Russia ke selatan ialah 9,800 kilometer, menurut data dari laman web Flightradar24 yang mengakibatkan pertambahan masa dua jam.

Ketua Eksekutif Air France-KLM, Benjamin Smith, berkata ia mengakibatkan perbelanjaan tambahan untuk bahan api dan kakitangan dengan kos lebih tinggi yang sekali gus menjadi isu besar kepada syarikat penerbangan.

Namun isu yang lebih besar kepada syarikat Finnair kerana ia mengasaskan strategi jarak jauhnya sebagai jambatan udara antara Eropah dan Asia yang melintasi ruang udara Russia.

Sekatan ruang udara adalah timbal balik, bermakna penerbangan antara Moscow dan Havana perlu menyusuri Norway ke utara untuk mengelakkan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang mengharamkan syarikat penerbangan Russia ekoran pencerobohan Ukraine.

Bagaimanapun penerbangan ini tidak penting berbanding 10 juta pelancong China yang melawat Eropah pada 2019 sebelum wabak COVID-19.

Apabila Russia menutup ruang udaranya kepada syarikat penerbangan dari negara yang dianggap bermusuhan pada penghujung Februari 2022, tidak banyak implikasinya.

Sekatan pandemik di China yang berpanjangan bermakna perjalanan udara antara Asia dan seluruh dunia hanya satu persepuluh daripada tahap 2019.

Namun selepas China membuka semula sempadannya, keadaan berubah. Pada April lalu, perjalanan penumpang di laluan ini meningkat tiga kali ganda daripada tempoh sama tahun lalu, menurut organisasi industri Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), yang mengadakan mesyuarat agung tahunannya di Istanbul minggu ini.

Isu itu menjadi fokus perbincangan antara Beijing dan Paris mengenai peningkatan penerbangan, permintaan industri pelancongan Perancis, tetapi yang berisiko melemahkan Air France.

“Kami mahu syarikat penerbangan yang mempunyai hak untuk terbang ke Perancis atau Belanda menghormati peraturan sama seperti kami,” kata Smith, yang memberi amaran kepada Air France-KLM mengenai laluan terbabit.

Aduan sama boleh didengar daripada syarikat penerbangan Amerika Syarikat, yang persatuan perdagangannya Airlines for America memberi amaran bahawa ‘sesetengah syarikat penerbangan asing yang dapat terbang di atas ruang udara Russia meletakkan syarikat penerbangan AS pada kelemahan persaingan langsung’.

Selain syarikat penerbangan China, syarikat penerbangan dari Teluk berkata Emirates dan Qatar Airways terus menikmati hak penerbangan Russia, begitu juga syarikat penerbangan dari Mesir dan India serta Turkiye yang menambah penerbangan ke negara itu susulan pencerobohan Ukraine.

IATA mempunyai ahli syarikat penerbangan yang disenaraihitamkan dan syarikat penerbangan yang terus terbang melintasi Russia.

“Kami ingin ruang udara Russia terbuka kepada semua,” kata Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh, yang sebelum ini mengendalikan International Airlines Group.

Sumber BH Online & AFP

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here