Home Buletin Semasa CUBAAN SELUDUP LEBIH 3,000 LITER DIESEL TUMPAS

CUBAAN SELUDUP LEBIH 3,000 LITER DIESEL TUMPAS

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

TUMPAT: Sebanyak 3,300 liter diesel bersubsidi dirampas pihak berkuasa selepas cubaan penyeludupan berjaya ditumpaskan dalam satu operasi di Pengkalan Jeti Nelayan, Kampung Geting, di sini, semalam.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, operasi menerusi Ops Tiris 4.0 pada jam 4.53 petang itu dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor.

“Siasatan awal mendapati sindiket terbabit memanipulasi bekalan diesel bersubsidi yang dipercayai diperuntukkan kepada nelayan dengan mengumpulkan minyak daripada beberapa bot sebelum dipindahkan ke bot bersaiz lebih besar.

“Mereka menggunakan pam, hos serta tangki tambahan yang diubah suai khas, selain ruang simpanan ikan bagi menyembunyikan kegiatan tersebut daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, minyak diesel itu dipercayai diseludup ke negara jiran melalui laluan laut, selain sebahagiannya disyaki dijual kepada pengusaha kapal besar.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa turut menahan empat lelaki tempatan dan menyita empat buah bot nelayan pelbagai kelas yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyelewengan dan penyeludupan diesel.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk empat buah bot tersebut dianggarkan melebihi RM700,000.

Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here