Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memulakan proses siasatan dalaman berkaitan kemalangan yang membabitkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut di hadapan surau perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kota Bharu, Kelantan semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata proses siasatan itu bagi meneliti pematuhan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan.
”Insiden ini juga sedang berada dalam siasatan pihak berkuasa.
”KPM menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah anakanda Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin yang terlibat kemalangan di sebuah sekolah di Kelantan, semalam,” katanya dalam kenyataan, semalam.
KPM juga sedang menguruskan bantuan terbaik kepada keluarga pelajar terbabit selain turut memberi perhatian terhadap aspek kebajikan dan kesejahteraannya.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Satu maut manakala rakannya cedera parah akibat dirempuh oleh sebuah kereta yang dipercayai tertekan pedal minyak di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kota Bharu.
IMedikel TV






