Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi tujuan kerja pembersihan dan pembaikan asas susulan insiden kebakaran SMU(A) Darul Ulum Al-Muhammadiah di Bachok Kelantan, petang semalam,
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pembaikan asas itu termasuk pendawaian elektrik dan penyambungan bekalan air di sekolah bagi membolehkan sekolah itu beroperasi semula.
“Pada waktu ini, premis sekolah dikosongkan bagi membolehkan penilaian keselamatan dilaksanakan.
“Guru dan murid juga melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang minggu ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pasukan kaunselor daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan turut digerakkan bagi melaksanakan program sokongan psikososial kepada semua murid, guru dan warga sekolah yang terjejas.
“KPM akan memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga sekolah berkenaan terpelihara,” katanya.
IMedikel TV






