Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan merekodkan sebanyak 1,418 kes kebakaran di negeri ini sejak awal Januari hingga hari ini.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,089 kes merupakan kebakaran terbuka melibatkan keluasan kira-kira 4,000 ekar di seluruh negeri.
“Tiga daerah mencatatkan kes kebakaran terbuka tertinggi iaitu 400 kes di Kota Bharu, diikuti Bachok (278 kes) dan Pasir Mas (173 kes).
“Kebakaran terbuka itu membabitkan 880 kes kebakaran belukar, 114 kebakaran hutan, 70 kebakaran sampah dan 25 kebakaran ladang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya melengkapkan 28 jentera bomba, tujuh jentera water tanker berkapasiti 10,000 liter dan 20,000 liter serta sebuah jentera jenis Hidro-Sub di 22 balai bomba seluruh negeri bagi operasi pemadaman kebakaran terbuka.
“Kerja pemantauan di lapangan turut dijalankan secara berterusan dengan memberi tumpuan kepada kawasan tanah gambut seluas kira-kira 19,000 ekar di seluruh negeri, khususnya di Bachok, Tumpat, Pasir Puteh, Tok Bali dan Pasir Mas.
“Bilangan panggilan kebakaran terbuka pada bulan ini mencatatkan 64 peratus daripada keseluruhan kes, menunjukkan peningkatan mendadak,” katanya.
Menurutnya, pihaknya menjangkakan jumlah panggilan kebakaran terbuka akan terus meningkat selaras dengan ramalan Jabatan Meteorologi yang menjangkakan cuaca kering sehingga pertengahan April 2026 dan berkemungkinan berlanjutan sehingga Jun 2026.
Sehubungan itu, JBPM turut mengambil langkah proaktif dengan menyalurkan maklumat berkaitan pembakaran terbuka kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Alam Sekitar bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 diambil terhadap pelaku serta pemilik tanah.
Katanya, setakat ini keadaan masih terkawal, namun terdapat kekangan dalam operasi pemadaman seperti sumber air terhad dan kesukaran akses ke lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, sekiranya keadaan menjadi kritikal kita akan melaksanakan pembekuan cuti secara bersasar dan menggunakan perkhidmatan helikopter Unit Udara Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi memastikan operasi berjalan lancar.
“Orang ramai juga diseru supaya peka dengan situasi semasa dan tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan menjadi tidak terkawal,” katanya.
IMedikel TV






