Home Buletin Semasa RM28 JUTA DIPERUNTUKKAN NAIK TARAF BAZAR SITI AISYAH

RM28 JUTA DIPERUNTUKKAN NAIK TARAF BAZAR SITI AISYAH

274
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Projek menaik taraf Bazar Siti Aisyah di sini menerima peruntukan sebanyak RM28 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Projek yang dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) itu dijangka mengambil masa selama 36 bulan bermula tahun 2026 hingga 2028.

Pengurus Kanan Pembangunan Usahawan dan Pelaburan Kumpulan PKINK, Ahmad Hilmi Mohd Nawawi berkata, projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2028.

“Objektif projek ini adalah bagi menaik taraf bangunan bazar dan infrastruktur sedia ada bagi menyediakan ruang lebih selesa kepada peniaga dan pengunjung, selain memperkasakan usahawan Bumiputera khususnya dalam bidang batik dan kraftangan,” katanya ketika taklimat Majlis Jelajah Media@Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Bazar Siti Aisyah yang dahulunya dikenali sebagai Bazar Buluh Kubu merupakan bazar moden pertama di Kota Bharu yang dibuka pada 1985 dan terkenal dengan penjualan barangan kraftangan, kain tempatan seperti batik dan songket, hasil tembaga, ukiran kayu, pakaian moden serta makanan dan kuih tradisional.

“Antara skop pembangunan projek ini termasuk pengubahsuaian fasad, pembesaran unit kedai, penyediaan ruang dewan, baik pulih infrastruktur elektrik, sistem longkang dan tangki septik.

“Ia juga melibatkan penambahan parkir, naik taraf landskap, kawasan pejalan kaki serta kemudahan surau,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (ICU JPM), Dr Wan Nur Ibtisam Wan Ismail berkata projek tersebut bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur, malah turut meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat.

Katanya, antara fokus utama program ialah memperincikan strategi pelaksanaan projek sosioekonomi agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh masyarakat serta mengukuhkan kerjasama strategik antara agensi pelaksana.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here