Home Luar Negara TRUMP DEDAH BELIAU ‘LEBIH SUKA’ AMBIL ALIH HAB MINYAK IRAN

TRUMP DEDAH BELIAU ‘LEBIH SUKA’ AMBIL ALIH HAB MINYAK IRAN

89
0

ANKARA: Memetik laporan Bernama Anadolu menerusi Berita Harian Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata beliau “lebih suka” untuk “mengambil minyak” di Iran dan mengisyaratkan bahawa Washington berkemungkinan mengambil alih Pulau Kharg — hab eksport minyak utama Iran — ketika pasukan AS memperluaskan kehadiran mereka di Asia Barat, menurut laporan Financial Times.

Dalam satu temubual, Trump berkata, apa yang paling diinginkan beliau adalah untuk “mengambil minyak yang ada di Iran,” membandingkannya dengan pendekatan di Venezuela di mana AS berusaha mengawal sektor minyak “secara tidak terhad.”

Beliau turut menyatakan kemungkinan operasi untuk mengambil Pulau Kharg, sambil menambah bahawa langkah itu “juga akan bermakna kita harus berada di sana untuk seketika.”

Trump mendakwa, beliau berpendapat pertahanan di pulau itu “tidak kuat” dan bahawa ia boleh diambil dengan mudah.

Kenyataan Trump itu dibuat ketika harga minyak terus meningkat lebih daripada 50 peratus dalam sebulan, dengan minyak mentah Brent melebihi AS$116 setong, susulan eskalasi konflik yang melibatkan AS, Israel dan Iran — termasuk serangan oleh kumpulan pemberontak yang disokong Iran di Yaman ke atas sasaran di Israel dan laluan perkapalan.

Turut dilaporkan bahawa Pentagon telah mengarahkan penghantaran kira-kira 10,000 tentera AS yang dilatih untuk operasi darat, dengan lebih 3,500 sudah tiba di rantau tersebut — termasuk sekitar 2,200 anggota marin — manakala pasukan tambahan masih dalam perjalanan.

Walaupun eskalasi, Trump turut berkata perbincangan tidak langsung dengan Iran melalui “utusan” Pakistan menunjukkan perkembangan, dan bahawa “perjanjian boleh dicapai dengan agak cepat.”

Beliau juga mendakwa Iran telah membenarkan 20 kapal tangki minyak berbendera Pakistan melalui Selat Hormuz sebagai isyarat kerjasama, selepas sebelumnya memberi laluan kepada 10 kapal.

Serangan dan ancaman terhadap infrastruktur tenaga di rantau ini — termasuk pangkalan udara Arab Saudi dan kemudahan AS — serta pelancaran peluru berpandu balistik oleh Houthi ke arah Israel telah memperhebat ketegangan di Asia Barat. – BERNAMA-ANADOLU, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here