Home Hiburan RUTIN HAFAL SKRIP BANTU LOUISA CHONG ASAH KETAJAMAN MINDA

RUTIN HAFAL SKRIP BANTU LOUISA CHONG ASAH KETAJAMAN MINDA

162
0

KUALA LUMPUR : Pelakon veteran Louisa Chong bersyukur terus diberikan kesihatan baik tanpa sebarang penyakit kritikal selain masih menerima tawaran berlakon meskipun mencecah usia 70 tahun, tahun ini.

Memetik laporan Harian Metro, Louisa bahkan mengakui tidak boleh duduk diam dan mesti hendak ‘menggerakkan’ otak setiap masa sebagai caranya terus menjaga kesihatan termasuklah menghafal skrip penggambaran.

“Kalau orang panggil berlakon, saya pergilah. Saya tidak hadkan diri, nanti otak tidak bergerak. Kalau badan tidak bergerak, baring saja, fikir macam-macam pula. Tetapi Alhamdulillah saya masih sihat.

“Rutin saya, kalau pagi buat sajalah pergerakan seperti hari-hari biasa. Tidak adalah pergi ‘gym’. Saya banyak asah minda sajalah terutama kalau dapat tawaran berlakon dan perlu baca skrip.

“Ya, sampai sekarang saya masih rajin hafal skrip,” katanya pada Program Ceria Ramadan dan Tahun Baharu Cina anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan kerjasama Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak, baru-baru ini.

Pelakon yang cukup popular menerusi sitkom 2+1 itu berkata, dia masih aktif berlakon sekarang bukan kerana hendak mengecap populariti lagi, sebaliknya puas apabila dapat menghidupkan watak dalam mana-mana naskhah.

Sudah cukup besar dan ternama dalam industri layar perak, Louisa tidak pernah merasa dirinya ‘diva’ dan masih akan mengambil serius tugasannya sebaik melangkah ke set penggambaran.

“Saya bukan hendak ‘glamor’ lagi dah. Lakonan itu cabaran buat saya. Setiap kali dapat skrip itu, saya akan baca secara mendalam, buat ‘homework’, kajian. Jadi, saya dapat rasa sisi lain diri.

“Saya tidak akan pernah jadi ‘diva’ apabila melangkah ke set. Bukan bergantung harap kepada pengarah semata-mata, kita mesti tahu apa tugasan kita selain panduan asas diberikan di set,” katanya.

Dalam pada itu, Louisa teruja apabila dapat meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama sanak saudara dari seluruh pelosok dunia yang pulang ke Malaysia bagi mengadakan perjumpaan keluarga.

“Walaupun ibu bapa saya sudah tiada, kami menetapkan untuk berkumpul setahun sekali menyambutnya bersama. Ini kerana adik-beradik saya berada di merata dunia, di Amerika Syarikat, Australia dan lain-lain.

“Biasanya kami memang akan menempah bilik di restoran untuk kami berkumpul. Macam Hari Raya juga, momen itu sajalah yang cukup berharga untuk sambutannya setiap tahun,” katanya.

Walaupun sudah memeluk Islam beberapa tahun lalu, Louisa masih meneruskan tradisi sambutan itu bersama keluarganya.-HMetro Online-

IMedikel TV    

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here