Home Sukan VIDAKOVIC TAK OBSES ANGKA BOLOS KL CITY

VIDAKOVIC TAK OBSES ANGKA BOLOS KL CITY

118
0

KUALA LUMPUR: Pengendali KL City FC, Risto Vidakovic enggan terperangkap dengan statistik jumlah bolos pasukannya meskipun ‘Warga Kota’ ketika ini memiliki rekod pertahanan ketiga terbaik dalam saingan Liga Super musim ini.

Menurut Vidakovic, angka semata-mata tidak mencerminkan sepenuhnya cabaran sebenar yang perlu dilalui pasukan dalam usaha memburu kemenangan secara konsisten.

Memetik laporan Harian Metro, setakat ini, KL City FC merekodkan lima perlawanan tanpa bolos selepas hanya melepaskan 12 gol dalam 13 perlawanan Liga Super, ketiga terbaik di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bolos lima gol dan Kuching City FC dengan enam gol.

Bagaimanapun, Vidakovic menegaskan fokus utamanya adalah keseimbangan permainan, terutama apabila pasukan perlu mengambil risiko lebih besar untuk menang.

“Ia hanyalah sekadar angka. Anda tahu situasi ini tidak mudah apabila anda perlu memenangi setiap perlawanan yang diharungi,” katanya.

Beliau menjelaskan, keinginan untuk menyerang dan memburu kemenangan kadangkala memaksa pasukan membuka ruang, sekali gus menguji kekuatan barisan pertahanan.

“Apabila kamu perlu lebih banyak menyerang dan mengambil risiko, kadangkala anda terlupa untuk bertahan. Itu perkara biasa dalam bola sepak,” katanya.

Terdahulu, KL City FC menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan apabila menundukkan Imigresen FC 4-2 pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, kelmarin.

Kemenangan penting itu menyaksikan ‘Warga Kota’ terus kekal dalam persaingan kelompok atasan liga.

Keputusan itu membolehkan KL City FC terus menghambat Kuching City FC di tangga kedua liga apabila kedua-dua pasukan terikat dengan 28 mata, hanya dipisahkan oleh perbezaan jaringan.

Mengulas perlawanan itu, Vidakovic mengakui anak buahnya berdepan detik sukar, terutama pada awal babak kedua apabila terpaksa mengejar selepas ketinggalan 1-2.

Beliau menyifatkan Imigresen FC sebagai pasukan berbahaya, khususnya menerusi serangan balas pantas yang beberapa kali menguji benteng KL City.

“Kami memulakan separuh masa kedua dengan buruk apabila melepaskan dua gol. Kami terlalu yakin ketika itu,” katanya.

Namun, Vidakovic memuji kebangkitan pemainnya yang berjaya mendapatkan semula rentak permainan sebelum meraih gol penyamaan.

Beliau mengakui situasi menjadi lebih mudah selepas lawan beraksi dengan 10 pemain susulan layangan kad merah, sekali gus membuka ruang buat KL City FC mengesahkan kemenangan.

“Kami bangkit, cuba mendapatkan semula rentak dan selepas kad merah, ia menjadi bertambah mudah,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here