Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang peniaga didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membuat penyambungan haram elektrik di sebuah premis, di Kampung Lundang, pada Oktober tahun lalu.
Hakim Nik Habri Mohamad menjatuhkan hukuman denda itu kepada orang kena saman (OKS), Loo Siong Hong, 43, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Mengikut pertuduhan, OKS didakwa menghalang meter elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada merekodkan dengan sempurnanya penggunahabisan elektrik dengan membuat sambungan haram yang disambung pada terminal keluaran suis fius di panel meter dan dialirkan ke premis melalui batang kabel logam.
Perbuatan itu dilakukan di Kampung Lundang, pada jam 3 petang, 15 Oktober tahun lalu.
OKS didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 37 (3)(e) Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] dan boleh dihukum di bawah subsubperenggan 37 (3)(A)(ii) Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Jabatan Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga (ST), Khairul Nizam Mohd Kamal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Khairul Nizam memohon hukuman setimpal dikenakan kepada OKS memandangkan kerugian sebanyak RM1.33 juta perlu ditangung oleh TNB.
“Ini adalah satu kesalahan yang serius dan membabitkan kepentingan awam kerana memberi impak kepada penentuan tarif elektrik dalam negara ini.
“Jumlah itu juga dikira sebagai ‘system loss’ yang akan mengakibatkan impak kenaikan kepada tarif elektrik kepada semua pengguna, pengguna yang tidak bersalah perlu menanggung tarif yang tinggi akibat perbuatan jenayah mencuri elektrik,” katanya.
OKS memohon hukuman denda minimum dikenakan ke atasnya kerana sudah menyesali kesalahan itu.
Nik Habri sebelum menjatuhkan hukuman denda berharap kes berkenaan adalah pertama dan terakhir berlaku di Kelantan selain hukuman yang dikenakan memberi pengajaran kepada individu lain.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM80,000 kepada OKS, jika gagal bayar boleh dipenjara selama 12 bulan.
IMedikel TV






