Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Dua penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak secara berkumpulan sehingga mencederakan seorang wanita berusia 19 tahun, di Kok Lanas, pada Disember lalu.
Tertuduh, Mohammed Sanusi Dollah, 44 dan Azahar Hussin, 55 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa merompak secara berkumpulan dan cuba mengambil harta milik wanita tersebut iaitu seutas gelang tangan emas serta beg duit sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
Kejadian berlaku pada jam 6.20 petang, di Jalan Batu Tinggi, Kok Lanas, pada 22 Disember lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh dan menetapkan 19 Januari sebagai tarikh serahan dokumen.
IMedikel TV






