DENPASAR: Pelancong asing yang bercuti ke Bali mungkin berdepan pemeriksaan lebih ketat termasuk semakan dokumen kewangan dan rancangan aktiviti bermula 2026.
Memetik laporan Jakarta Globe, langkah itu diumumkan oleh kerajaan wilayah Bali sebagai usaha memulihkan ketenteraman dan kelestarian di destinasi percutian yang menjadi antara tumpuan utama dunia.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Gabenor Bali, Wayan Koster, berkata dasar baharu itu mewajibkan pengunjung antarabangsa membuktikan kemampuan kewangan sebagai sebahagian daripada syarat kemasukan.
Katanya, antara kriteria yang dinilai ialah jumlah simpanan dalam akaun bank pelawat bagi tempoh tiga bulan sebelum ketibaan mereka di sini.
“Salah satu aspek pelancongan berkualiti adalah jumlah wang dalam akaun simpanan pelawat sepanjang tiga bulan lalu,” katanya ketika merasmikan acara pelancongan di sini, pada Khamis lalu.
Menurutnya, pihak berkuasa juga akan menilai tempoh penginapan dan setiap aktiviti yang bakal dilakukan oleh pelancong sepanjang berada di pulau ini.
Jelasnya, tindakan itu perlu bagi memastikan segala-galanya berada di bawah kawalan selaras dengan polisi yang dilaksanakan di banyak negara lain di seluruh dunia.
Langkah tegas ini diambil susulan lonjakan jumlah pelancong asing yang mencecah 7.05 juta orang sepanjang 2025, iaitu angka tertinggi dalam sejarah pelancongan Bali.
Bagaimanapun, peningkatan drastik jumlah pelancong turut membawa kepada pelbagai insiden pelancong biadap, pelanggaran undang-undang serta kes jenayah kekerasan membabitkan warga asing.
Antara kes yang menarik perhatian adalah pengusiran seorang pencipta kandungan bulan lalu kerana menyalahgunakan visa disyaki bagi aktiviti penggambaran video lucah.
Wayan Koster mengakui bahawa pembukaan semula sempadan secara besar-besaran sebelum ini memberi kesan kepada tadbir urus dan kualiti persekitaran termasuk isu kesesakan lalu lintas.
“Ke hadapan, kita akan menumpukan kepada pelancongan berkualiti dan bukannya sekadar mengejar jumlah pengunjung melalui penambahbaikan tadbir urus dan peraturan wilayah,” katanya. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






