KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan dan pengiktirafan yang diraih, penyanyi, Ernie Zakri berkata, dia masih belum pernah berasa selesa dan terus mencari pendekatan terbaik untuk kekal relevan dalam industri hiburan.
Memetik laporan Berita Harian, Ernie atau nama lengkapnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, berkata ketakutan untuk dilupakan menjadi antara perkara yang sering bermain di fikirannya sejak awal pembabitan dalam bidang nyanyian, meskipun sudah hampir dua dekad berada dalam industri.
“Sampai hari ini, saya masih mencari formula untuk kekal relevan dalam industri ini.
“Dari umur 17 tahun hingga sekarang 33 tahun, saya melihat ramai penyanyi datang dan pergi.
“Ketika mereka berada di puncak, saya mengagumi mereka, namun ada yang hilang sekelip mata. Itu antara ketakutan saya,” katanya ketika ditemubual dalam program Nona, di sini, baru-baru ini.
Bagaimanapun, pemenang trofi Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37 itu menegaskan pencarian berkenaan bukan bermaksud dia tamak atau tidak bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Tuhan.
“Bukan nak kata saya tamak atau tidak percaya pada apa yang Allah tentukan, tetapi sampai sekarang saya sentiasa mencari formula untuk kekal relevan.
“Saya tak boleh terlalu selesa dengan apa yang saya ada. Setiap kali melancarkan lagu, saya akan fikir langkah seterusnya.
“Bukan bermaksud saya sukar merasa cukup, tetapi saya perlu sentiasa berpijak di bumi nyata kerana industri ini sentiasa berputar,” katanya.
Ernie percaya kemunculan artis baharu yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan menjadikan dunia seni sebagai medan yang sentiasa berubah dan mencabar.
“Dalam dua hingga tiga tahun akan datang, ramai penyanyi hebat, khususnya wanita, akan muncul.
“Jadi, bagaimana saya mahu kekal dalam industri ini adalah dengan sentiasa memikirkan strategi,” ujarnya.
Mengimbau detik paling rapuh dalam hidupnya, Ernie mengakui pernah hampir membuat keputusan meninggalkan dunia nyanyian selepas berdepan kegagalan demi kegagalan pada usia muda.
“Setiap orang berdepan cabaran berbeza. Bagi saya, saya terus berjumpa ibu dan beritahu mahu berhenti menyanyi.
“Ketika itu, saya sudah hampir 20 lagu dikeluarkan, tetapi masih belum mendapat perhatian.
“Saya sangat bergelut kerana masih mempromosikan lagu menggunakan cakera padat (CD). Saya terlalu putus asa ketika itu,” katanya.
Menurut Ernie, pada fasa berkenaan dia kehilangan idea dan tidak tahu arah tuju kerana merasakan sudah mencuba pelbagai genre.
“Mak saya pesan supaya bersabar kerana pasti ada manis di hujung jalan. Walaupun sukar terima hakikat ketika itu, saya patuh dan dengar nasihat ibu.
“Alhamdulillah, selepas itu lagu saya mula mendapat perhatian. Berkat mendengar nasihat ibu,” katanya.
Dalam pada itu, Ernie menyifatkan semua anugerah yang diterima hanyalah bonus, sebaliknya perjuangan sebenar adalah untuk terus bertahan, berkembang dan kekal relevan sebagai anak seni yang jujur terhadap perjalanan sendiri. – BH Online –
IMedikel TV






