ADELAIDE: Pemenang peringkat Tour de France, Ben O’Connor bakal mengetuai Team Jayco AlUla di laman sendiri apabila pasukan Australia itu membuka kalendar WorldTour pada perlumbaan Santos Tour Down Under.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, ia akan menjadi kali pertama pelumba berusia 30 tahun itu beraksi di perlumbaan ‘laman sendiri’ sejak 2023, dengan mengetuai barisan terkuat pelumba Australia di Adelaide, Januari ini.
Membantu O’Connor ialah dua juara perlumbaan lebuh raya Australia sebelum ini, termasuk pemenang peringkat Giro d’Italia, Luke Plapp serta tonggak pasukan, Luke Durbridge.
Pelumba baharu, Hamish McKenzie dan Rudy Porter yang kembali menyertai pasukan turut menambah kekuatan barisan Australia bersama kehadiran bertenaga Kell O’Brien.
Skuad itu dilengkapkan dengan seorang pelumba bukan Australia, Mauro Schmid.
Walaupun bukan anak tempatan, juara berganda Switzerland itu mencuri hati peminat Australia pada 2025 menerusi kemenangan solo bergaya di Cadel Evans Great Ocean Road Race.
“Kembali ke Perth untuk musim panas adalah satu pengalaman yang sangat menyeronokkan. Saya cintakan Australia, rindukan pantai-pantainya serta suasana santai dan mesra di sini. Latihan di sini kadang-kadang kejam dan mencabar, tetapi ganjarannya sentiasa lumayan. Saya tidak sabar untuk memulakan musim panas perlumbaan di Australia dan mengharumkan jersi pasukan.
“Di seluruh dunia kami berusaha untuk beraksi cemerlang, mempamerkan bakat dan mengangkat tangan sebagai pemenang, tetapi menyertai Tour Down Under bersama Team Jayco AlUla benar-benar membawa maksud perlumbaan di laman sendiri, dengan nilai signifikan yang lebih besar. Ia pasti menyeronokkan dan sejujurnya, inilah antara waktu terbaik dalam setahun,” kata O’Connor. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






