Home Buletin Semasa GOLONGAN MUDA CATAT HAMPIR 50 PERATUS JANGKITAN BAHARU HIV

GOLONGAN MUDA CATAT HAMPIR 50 PERATUS JANGKITAN BAHARU HIV

286
0

Oleh: Bazli Razak@IMedikel TV

TANJONG MALIM: Golongan muda kini merangkumi hampir 50 peratus daripada jangkitan HIV baharu di Malaysia, menjadikan mereka kelompok paling penting dalam usaha negara menamatkan AIDS menjelang 2030.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr. Feisul Idzwan Mustapha berkata, meskipun landskap HIV negara terus menunjukkan penambahbaikan, perubahan corak jangkitan terkini memerlukan tumpuan serius, khususnya dalam kalangan belia dan mahasiswa.

“Jika dahulu majoriti jangkitan berkait penggunaan dadah suntikan, hari ini 97 peratus jangkitan baharu berlaku melalui hubungan seksual, dan hampir separuh daripadanya membabitkan orang muda.

“Ini bukan untuk menakutkan sesiapa, ini realiti yang perlu diketahui. Realiti hanya berubah apabila kita berani melihatnya dengan jujur,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Kesedaran AIDS Sedunia Peringkat IPTA dan Negeri Perak 2025 di Dewan SITC, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, semalam.

Dr. Feisul turut menegaskan bahawa rawatan HIV di Malaysia kini berada pada tahap yang sangat baik, dengan 94 peratus membabitkan terapi antiretroviral (ART) dan 93 peratus pesakit mencapai penekanan virus (viral suppression).

“HIV hari ini bukan hukuman mati. Ia penyakit kronik yang boleh dirawat. Mereka yang menerima rawatan awal boleh hidup, belajar, bekerja, berkahwin dan membina kehidupan seperti orang lain,”jelasnya.

Menurutnya, Negeri Perak juga menunjukkan tren positif dengan mencatat 4.9 kes baharu bagi setiap 100,000 penduduk pada 2024, lebih rendah berbanding purata negara.

Bagaimanapun, beliau berkata cabaran terbesar bukanlah rawatan tetapi stigma yang menyebabkan individu takut mendapatkan ujian awal atau bantuan kesihatan.

“Stigma menyebabkan ramai takut dilihat, takut dilabel, takut disisihkan. Dan itulah sebabnya kita berada di sini hari ini untuk memerangi stigma yang menghalang ramai daripada mendapatkan rawatan lebih awal,”katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, penganjuran sambutan itu membuktikan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh pendidikan kesihatan dan literasi awam mengenai HIV.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pusat Kesihatan UPSI serta rakan kerjasama seperti Majlis Kesihatan Universiti Awam Malaysia (MAKESUM), Pejabat Kesihatan Daerah Bagan Datuk, Pejabat Kesihatan Daerah Muallim dan Unit Kediaman Luar Kampus UPSI atas usaha menjayakan program ini.

Beliau berkata kehadiran pelbagai pihak pada majlis tersebut mencerminkan kesedaran dan kesungguhan masyarakat terutama generasi muda dalam membanteras stigma serta meningkatkan kefahaman terhadap HIV.

“Sambutan Hari AIDS Sedunia bukan sekadar acara simbolik, tetapi gerakan global yang menuntut tindakan kolektif. Dengan tema tahun ini, ‘Akhiri AIDS: Mendepani Cabaran, Mentransformasi Tindakan’, kita diingatkan bahawa perjuangan ini memerlukan komitmen lebih berani dan progresif,” katanya.

Sempena sambutan berkenaan turut diadakan pelbagai aktivti menarik antaranya Fun Walk, Derma Darah, Sembang Santai, Pameran Kesihatan, Saringan Kesihatan serta Saringan HIV dan Syphilis.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here