Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TANAH MERAH: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 8 Batang Merbau, Jalan Kota Bharu–Machang–Jeli, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.55 petang mangsa, Muhamad Sukri Zolkaifli menunggang motosikal jenis BMW AVETA TM250 LX sebelum bertembung sebuah kereta jenis Kia Spectra.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Manakala pembonceng mengalami kecederaan pada kaki, tangan dan mulut serta pemandu kereta hanya mengadu sakit badan.
“Kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal itu memotong sebuah lori yang tidak dapat dikenal pasti, menyebabkan ia memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta tersebut dari arah Jeli menuju ke Pasir Puteh,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
IMedikel TV






