MELBOURNE: Pemenang sembilan perlumbaan Grand Prix, Oscar Piastri dianugerahkan penghormatan tertinggi sukan Australia, Anugerah Don dengan bintang Formula Satu (F1) itu menyifatkannya sebagai “satu keistimewaan besar.”
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, pemandu berusia 24 tahun itu melonjak ke kelompok elit tahun ini, membangkitkan kebanggaan nasional dalam usaha menjadi juara dunia F1 ketiga Australia selepas Jack Brabham dan Alan Jones.
Dia kini menghadapi persaingan sengit, selepas kehilangan pendahuluan dalam perlumbaan di Grand Prix Mexico City bulan lalu dan kini ketinggalan 24 mata di belakang rakan sepasukan McLaren, Lando Norris dengan berbaki tiga perlumbaan.
Piastri menerima pengiktirafan itu pada majlis tahunan Sport Australia Hall Of Fame malam tadi di Melbourne, yang menghargai atlet atau pasukan Australia paling mencetus inspirasi sepanjang 12 bulan lalu.
Anugerah Don dinamakan sempena bintang legenda kriket Australia, Donald Bradman.
“Memenangi anugerah atas nama Sir Donald Bradman adalah satu keistimewaan besar,” kata Piastri.
“Setiap orang di Australia tahu apa yang beliau wakili dan legasinya dalam sukan negara, jadi saya sedar betapa pentingnya anugerah ini.
“Sentiasa satu perasaan luar biasa untuk mewakili negara di pentas dunia dan beraksi dengan baik untuk diri sendiri,” jelasnya.
“Terima kasih kepada semua yang mengibarkan bendera dan memberi sorakan di semua perlumbaan Grand Prix di seluruh dunia.”
Antara penerima terdahulu termasuk Ian Thorpe, Cathy Freeman, Adam Scott, Ashleigh Barty dan pasukan bola sepak wanita Australia. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






