Home Hiburan TEGUR PELAKON BAHARU, ZED ZAIDI LIHAT PERUBAHAN POSITIF DI SET

TEGUR PELAKON BAHARU, ZED ZAIDI LIHAT PERUBAHAN POSITIF DI SET

KUALA LUMPUR: Selepas menegur sikap segelintir pelakon baharu yang didakwa tidak menghormati senior di lokasi penggambaran, pelakon dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, mengakui mula melihat perubahan positif dalam kalangan pelapis industri seni tanah air.

Memetik laporan Berita Harian, Zed atau nama sebenarnya, Rozaidi Abdul Jamil, 45, berkata sejak kenyataannya tular dan mendapat perhatian, semakin ramai pelakon muda dilihat lebih terbuka bertegur sapa serta beramah mesra ketika berada di set penggambaran.

“Perkongsian saya sebelum ini memang beri impak. Daripada liputan media sahaja, sudah berjuta menonton kerana perkara itu pernah berlaku pada saya.

“Pelakon baharu perlu faham, sistem yang mereka amalkan di media sosial tidak sama dengan sistem kerja dalam industri kreatif. Caranya memang berbeza,” katanya ditemui pada pelancaran filem terbaharunya, Zero, di Pavilion Bukit Bintang, malam tadi.

Menurut Zed, budaya saling menghormati antara pelakon tidak kira senior atau junior amat penting bagi memastikan proses penggambaran berjalan lancar.

“Mereka perlu tahu menghormati dan kita mesti bekerjasama supaya tidak menyusahkan orang lain. Jangan rasa diri terlalu hebat.

“Semua kena berganding bahu untuk menjayakan sesebuah karya. Itu yang paling utama,” katanya.

Zed berkata, isu yang disuarakan itu turut membuka mata generasi baharu yang masih bertatih mencari rentak, sekali gus memberi kelegaan kepada golongan pelakon senior dan veteran.

“Impaknya bukan untuk saya sahaja, tetapi kepada yang lain juga terutama veteran. Ramai yang mengadu.

“Jadi, pelakon baharu ini mula faham bahawa hormat menghormati sesama kita dalam industri sangat penting. Dalam industri ini, kita perlu jaga diri, jaga imej dan jaga maruah industri kreatif,” katanya.

Sebelum ini, Zed dalam satu temu bual media meluahkan rasa kesal apabila mendakwa terdapat pelakon baharu bersikap kurang sopan dan tidak menghormati pelakon lain ketika di lokasi penggambaran.

Dalam perkembangan lain, Zed bakal kembali ke layar perak menerusi filem aksi arahan Andre Chiew berjudul Zero, yang dijangka memulakan penggambaran awal Disember ini.

Filem yang mengangkat isu sindiket penjualan organ itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Hun Haqeem, Fabian Loo, Harissa Adlynn, Iedil Dzuhrie Alaudin, Tony Eusoff dan ramai lagi. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here