Home Sukan YATES AKUI PEMAIN TURUT BERSALAH POSTECOGLOU DIPECAT

YATES AKUI PEMAIN TURUT BERSALAH POSTECOGLOU DIPECAT

331
0

NOTTINGHAM, England: Kapten Nottingham Forest, Ryan Yates mengakui pemain turut perlu memikul tanggungjawab atas prestasi hambar pasukan selepas kelab itu memecat pengurus, Ange Postecoglou sejurus kekalahan 0-3 kepada Chelsea, malam tadi.

Tempoh malang Postecoglou bersama kelab Midlands itu berakhir hanya 20 minit selepas wisel penamat, menjadikannya pengurus pertama Forest yang gagal menang dalam lapan perlawanan pertama sejak mengambil alih tugas.

Pemecatan itu turut mengejutkan pemain sendiri apabila jurulatih berusia 60 tahun dari Australia itu dipecat sebelum sempat menghadiri sidang media pasca perlawanan dan terus meninggalkan Stadium City Ground selepas bercakap dengan pemain.

“Saya jujur, Ange masuk selepas perlawanan untuk membincangkan keputusan perlawanan, kemudian saya keluar untuk sesi larian. Bila saya kembali, berita pemecatan beliau sudah tersebar,” kata Yates kepada BBC Radio.

“Setiap orang perlu bertanggungjawab. Adalah tidak adil jika kesalahan hanya diletakkan kepada seorang individu. Kami perlu menilai diri sendiri, bangkit semula dan teruskan perjuangan kerana keadaan dalam bola sepak boleh berubah dengan pantas. Itu yang kami fikirkan sekarang.”

Selepas kekalahan itu, Forest kini terperosok ke zon penyingkiran di tangga ke-18 dengan lima mata selepas lapan perlawanan, ketinggalan dua mata di belakang Burnley yang menghuni tangga ke-17.

Forest belum mencatat sebarang kemenangan dalam semua pertandingan sejak aksi pembukaan musim ini, termasuk dalam saingan Liga Europa yang mana mereka kini berada di tangga ke-25 keseluruhan.

Postecoglou sebelum ini menggantikan Nuno Espirito Santo yang turut dipecat bulan lalu.

“Kami juga sebahagiannya harus dipersalahkan kerana kami yang turun ke padang untuk meraih keputusan,” tegas Yates.

“Bola sepak boleh berubah dengan cepat. Jika kami meraih keputusan baik menentang Porto dalam aksi Liga Europa Khamis ini, semangat pasukan pasti akan kembali.”

Menurut laporan media Britain, bekas pengurus Burnley dan Everton, Sean Dyche antara calon utama untuk mengambil alih pasukan, manakala bekas jurulatih Manchester City, Roberto Mancini turut dipertimbangkan bagi mengemudi Forest. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here