Home Buletin Semasa BENDERA ISRAEL DIKIBAR HANYA BABAK LAKONAN – PENGANJUR

BENDERA ISRAEL DIKIBAR HANYA BABAK LAKONAN – PENGANJUR

482
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pengarah Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza, Mohd Khairul Hafiz Hassan, menjelaskan bahawa bendera Israel yang dikibarkan semasa program tersebut bukan bertujuan memuliakan rejim Zionis, sebaliknya sebahagian daripada lakonan sketsa atau simulasi yang menggambarkan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Menurut beliau video yang tular di media sosial hanya memaparkan sebahagian kecil daripada persembahan tersebut dan mendapat pelbagai reaksi serta menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen

“Kita hendak sampaikan mesej tentang kekejaman Israel di bumi Palestin. Bendera Israel itu dikibarkan dalam sketsa semata-mata untuk menunjukkan situasi sebenar rakyat Gaza yang kini dijajah sepenuhnya rejim Zionis,” katanya ketika dihubungi kru IMedikel TV melalui hantaran Whatsapp, di sini, hari ini.

Mohd Khairul Hafiz berkata, pada penghujung sketsa tersebut, para peserta memijak bendera Israel yang asli sebagai simbolik kebencian terhadap kekejaman Zionis.

“Ramai tidak menonton video itu sampai habis. Di akhir lakonan, kami memang pijak bendera Israel sebenar. Kalau guna bendera lukisan semata, tidak memberi kesan. Kami nak tunjuk bahawa umat Islam tidak takut kepada Israel,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa bendera itu tidak dikibarkan sebelum atau selepas lakonan berlangsung, sebaliknya digunakan hanya dalam babak simulasi berkenaan.

Mohd Khairul Hafiz turut menyeru agar masyarakat tidak cepat menghukum, sebaliknya memahami niat sebenar penganjur untuk membangkitkan kesedaran dan semangat solidariti terhadap rakyat Palestin.

“Kita tidak mengharapkan ganjaran manusia. Allah tahu niat kita. Isu ini penting untuk membangkitkan kemarahan umat Islam terhadap kezaliman Israel. Biarlah dunia tahu kita bersatu menentang kezaliman,”katanya.

Beliau turut menambah, tujuan utama program itu ialah untuk mengingatkan masyarakat terutamanya umat Islam di seluruh dunia bahawa Palestin kini hanya tinggal wilayah kecil Gaza setelah sebahagian besar tanahnya dijajah Israel akibat kelalaian dan kealpaan dunia terhadap penderitaan umat Islam di sana.

“Kalau kita lihat, tanah Palestin dulu luas, tetapi sekarang tinggal Gaza sahaja. Kita tidak mahu dunia terus melupakan mereka,” katanya.

Mengulas mengenai reaksi netizen yang marah dengan tindakan mengibarkan bendera Israel, Mohd Khairul Hafiz berkata pihaknya berlapang dada dan tidak menyalahkan sesiapa.

“Mereka marah sebab tidak tahu keseluruhan konteks. Kami berjiwa besar dan terima dengan terbuka. Yang penting, mesej itu sampai yang mana kita tidak akan tunduk dan takut kepada Israel.

Jadi, kami tidak menyalahkan netizen kerana mereka juga tidak tahu secara keseluruhan simulasi berkenaan,”katanya.

Beliau juga menyifatkan kecaman yang diterima sebagai bukti bahawa isu Palestin masih dekat di hati rakyat Malaysia, khususnya umat Islam di Kelantan yang sentiasa prihatin terhadap nasib saudara seagama di Gaza.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here