Home Buletin Semasa 50 PERATUS PESAKIT KANSER PAYUDARA DI KELANTAN DIKESAN PADA TAHAP 3 DAN...

50 PERATUS PESAKIT KANSER PAYUDARA DI KELANTAN DIKESAN PADA TAHAP 3 DAN 4

679
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kesedaran terhadap pengesanan awal kanser payudara di Kelantan masih berada pada tahap membimbangkan apabila hampir 50 peratus pesakit hanya mendapatkan rawatan selepas penyakit dikesan pada Tahap 3 dan 4.

Pengerusi Yayasan Kasih Kanser dan Kronik (YKKK), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi, berkata situasi itu menunjukkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeriksaan awal masih rendah walaupun pelbagai program kesedaran sudah dilaksanakan di peringkat negeri.

“Daripada 100 pesakit yang hadir ke seminar motivasi hari ini, 45 peratus adalah pesakit Tahap 3 dan 4.

“Ini bermaksud separuh daripada pesakit di Kelantan datang berjumpa doktor ketika penyakit sudah berada pada tahap lewat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Motivasi Bersama Breast Cancer Survivor 2025, di sini, pada Sabtu.

Menurut beliau, seminar berkenaan diadakan setiap tahun bertujuan memberi dorongan kepada pesakit supaya terus kuat dan positif menjalani rawatan, selain membantu mereka memahami jenis kanser serta pilihan rawatan yang ada.

“Kita mahu pesakit tahu mereka tidak bersendirian. Program seperti ini membantu mereka kekal bersemangat dan mematuhi rawatan yang disarankan doktor,” jelasnya.

Dr Imi Sairi yang juga Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin, Hospital Raja Perempuan Zainab ii (HRPZ II), berkata, kadar kelangsungan hidup (survival rate) bagi pesakit kanser tahap empat di Malaysia hanyalah sekitar 20 hingga 23 peratus dalam tempoh lima tahun selepas diagnosis.

“Secara statistiknya, di mana-mana negara pun, termasuk Malaysia, hanya sekitar 20 hingga 23 peratus pesakit Tahap 4 mampu bertahan sehingga lima tahun. Ini kerana mereka datang ke hospital agak lambat untuk mendapatkan rawatan.

“Jadi tujuan kita mengadakan program ini juga salah satunya adalah untuk memberi kesedaran kepada mereka.

“Sekiranya terdapat kawan atau saudara mara yang mempunyai masalah yang sama, mereka harus datang secepat mungkin,”jelasnya.

Beliau mendedahkan, hasil temu bual bersama peserta mendapati masih ramai yang memilih untuk berjumpa bomoh terlebih dahulu sebelum mendapatkan rawatan perubatan.

“Salah satu punca individu lambat mendapatkan rawatan di hospital ialah kepercayaan terhadap rawatan tradisional atau bomoh yang masih kuat dalam masyarakat.

“Ada yang dipengaruhi keluarga atau saudara mara yang masih percaya kepada rawatan tradisional. Malangnya, tindakan ini hanya melengahkan rawatan sebenar dan memburukkan keadaan,”katanya.

Program bertemakan “Biar Sampai ke Bintang” itu menghimpunkan lebih 100 pesakit kanser payudara dari seluruh Kelantan, bertujuan memberi motivasi dan meningkatkan kesedaran sempena sambutan Pink October tahun ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here