Home Luar Negara KONFLIK IRAN-ISRAEL: WARGA ASING LARI KE AZERBAIJAN, ARMENIA 

KONFLIK IRAN-ISRAEL: WARGA ASING LARI KE AZERBAIJAN, ARMENIA 

511
0

TEHRAN: Meskipun menerima kecaman antarabangsa, konflik bersenjata jarak jauh antara Israel dan Iran yang meletus Jumaat lalu terus memuncak tanpa sebarang tanda reda.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Israel mendakwa, serangan udara besar-besaran dilancarkan mereka terhadap fasiliti nuklear dan ketenteraan Iran mengorbankan dua komander tertinggi negara itu termasuk Ali Shadmani dan pendahulunya, Gholam Ali Rashid.

Kawasan penempatan penduduk di kedua-dua negara turut menjadi sasaran, mengorbankan orang awam dan mencetuskan kekacauan.

Beberapa kerajaan asing pula bertindak segera memindahkan rakyat mereka keluar dari zon konflik.

Berdasarkan data, setakat ini, lebih 700 warga asing yang menetap di Iran melarikan diri ke negara jiran seperti Azerbaijan dan Armenia.

Antara yang dipindahkan termasuk warga Rusia, Belarus, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan, selain warga Jerman, Sepanyol, Itali, Serbia, Romania, Portugal, Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu, China dan Vietnam, menurut sumber kerajaan yang dipetik AFP.

AS turut mengumumkan penutupan kedutaannya di Baitulmaqdis sehingga Jumaat berikutan konflik yang semakin meruncing, namun tiada kenyataan rasmi berhubung pemindahan rakyatnya dari kawasan bergolak itu.

Susulan kebimbangan serangan berterusan, ramai penduduk Tehran dilaporkan melarikan diri.

Barisan panjang kelihatan di stesen minyak dan kedai roti pada Selasa lalu apabila penduduk mula membuat simpanan bekalan asas dan bahan api.

Dalam perkembangan berkaitan, agensi berita Fars melaporkan, sebuah serangan siber melumpuhkan Sepah Bank, salah satu bank milik kerajaan terbesar Iran.

Di Israel, siren amaran serangan udara sering kali kedengaran di Tel Aviv.

Ada penduduk yang memilih untuk berpindah ke tempat perlindungan bawah tanah termasuk kawasan parkir pusat beli-belah.

“Kami ambil keputusan berkhemah di sini sementara keadaan reda… entah bila,” kata Mali Papirany, 30, kepada AFP.

Israel mempertahankan tindakan ketenteraannya sebagai langkah pencegahan terhadap usaha Iran membina senjata nuklear, namun dinafikan Tehran.

Media Iran pula melaporkan beberapa letupan berlaku di bandar Isfahan pada Selasa, lokasi di mana terdapat kemudahan nuklear utama.

Sejak Jumaat, sekurang-kurangnya 24 terbunuh dan ratusan cedera di Israel, menurut pejabat Netanyahu.

Sementara itu, Iran pada Ahad lalu mendakwa serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya 224 individu termasuk komander tentera, saintis nuklear dan orang awam.

Bagaimanapun, tiada angka terkini dikeluarkan setakat ini. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here