BEIRUT: Israel melancarkan gelombang serangan udara ke atas kubu Hizbullah di Beirut dan selatan Lubnan pada Sabtu.
Ia ketika pejuang yang disokong Iran menembak beberapa pangkalan tentera Israel di sekitar bandar pantai Haifa.
Tentera Israel melaporkan serangan roket ke atas Haifa dan berkata, sebuah rumah ibadat Yahudi, musnah dan dua orang awam cedera.
Sejak 23 September lalu, Israel meningkatkan pengeboman sasarannya di Lubnan, kemudian menghantar tentera darat ke negara itu.
Ia selepas hampir setahun kedua-dua pihak berbalas serangan rentas sempadan. Pejuang Hizbullah yang disokong Iran melancarkan serangan itu bagi menyokong Hamas di Gaza.
Di Gaza, di mana serangan Hamas ke atas Israel mencetuskan perang, agensi pertahanan awam melaporkan 24 orang terbunuh dalam serangan pada Sabtu lalu.
Ketua tentera Israel, dalam komen yang dikeluarkan pada Sabtu berkata, Hizbullah “membayar harga yang besar” tetapi Israel akan terus berjuang sehingga puluhan ribu penduduknya yang dipindahkan dari utara boleh kembali dengan selamat.
“Kami akan terus berjuang, untuk melaksanakan rancangan, untuk pergi lebih jauh, melakukan serangan yang mendalam dan menyerang Hizbullah dengan sangat keras,” kata Leftenan Jeneral Herzi Halevi dalam lawatan awal minggu ke kawasan Kfar Kila di selatan Lubnan.
Rakaman AFPTV menunjukkan serangan baharu pada Sabtu di pinggir selatan Beirut, kubu kuat Hizbullah, selepas tentera Israel menyeru penduduk untuk berpindah.
Agensi Berita Kebangsaan (NNA) juga melaporkan serangan ke atas bandar selatan Tyre, termasuk di kawasan kejiranan berhampiran runtuhan purba yang disenaraikan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Unesco.
Bernama melaporkan Israel terus melancarkan serangan hebat ke atas Gaza, meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera. – AGENSI –
IMedikel TV






