JAKARTA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) merayu kerajaan Indonesia menyelamatkan sebuah bot dipenuhi lebih 100 pelarian Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak, yang terdampar di pantai barat republik itu.
Bot berkenaan dipercayai berlabuh sekitar enam kilometer (km) dari pantai wilayah Aceh dan semalam, terdapat sebuah bot bantuan menarik bot berkenaan hampir ke pesisir pantai.
Rakan perlindungan UNHCR Indonesia, Faisal Rahman, berkata pihaknya memohon kepada pihak berkuasa bagi memastikan pelarian berkenaan diselamatkan.
“UNHCR dan rakan-rakan sedia untuk memberikan sokongan dan bantuan yang sangat diperlukan oelh golongan berisiko ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Lima pelarian Rohingya diselamatkan Khamis lalu untuk menjalani rawatan perubatan di sebuah hospital tempatan di Indonesia.
Menurut pegawai tempatan di Selatan Aceh, sekurang-kurangnya seorang pelarian meninggal dunia semasa berada atas kapal.
Pada minggu lalu, jurucakap daerah Selatan Aceh, Yuhelmi, berkata penduduk setempat hanya menunggu kedatangan pegawai imigresen sebelum mengambil sebarang keputusan mengenai langkah selanjutnya.
Mengulas lanjut, Faisal berkata ketika ini perbincangan antara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan kerajaan sedang berlangsung.
Indonesia, yang tidak menandatangani konvensyen pelarian PBB menegaskan, pihaknya tidak boleh dipaksa untuk menerima pelarian dari Myanmar, sebaliknya menyarankan negara jiran lain berkongsi beban termasuk mencadangkan pemindahan semula pelarian Rohingya yang tiba di pantainya.
Kebanyakan orang Acheh sendiri bersimpati dengan nasib menimpa etnik Rohingya atas faktor agama.
Namun, ada juga menyuarakan yang kesabaran mereka teruji apabila mendakwa kedatangan pelarian Rohingya cuma menghabiskan sumber terhad dan kadang kala berkonflik dengan penduduk tempatan.
Pada Disember tahun lalu, ratusan pelajar memaksa pemindahan lebih 100 pelarian Rohingya, dengan bertindak menyerbu sebuah dewan di Aceh yang menjadi tempat etnik berkenaan berlindung dan membuang barang mereka.
Etnik Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam dianiaya di Myanmar. Ribuan daripada mereka sanggup mengambil risiko setiap tahun dalam perjalanan laut yang panjang dan berbahaya untuk cuba berlindung di Malaysia serta Indonesia. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






