Home Luar Negara BEKALAN DAKWAT TERJEJAS, JENAMA SNEK POPULAR JEPUN, CALBEE JANGKA TUKAR WARNA PEK...

BEKALAN DAKWAT TERJEJAS, JENAMA SNEK POPULAR JEPUN, CALBEE JANGKA TUKAR WARNA PEK BUNGKUSAN

34
0

TOKYO: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian syarikat pengeluar snek dan kerepek kentang terkemuka di Jepun, Calbee dijangka menukar warna bungkusan membabitkan beberapa produk keluarannya kepada hitam putih.

Langkah itu difahamkan terpaksa diambil syarikat pengeluar kerepek kentang pelbagai perisa terbabit susulan perang di Iran yang mengakibatkan bekalan produk tertentu termasuk dakwat percetakan terjejas.

Semalam, syarikat terbabit dalam satu kenyataan memaklumkan akan menyemak spesifikasi pembungkusan dan hanya menggunakan dua warna untuk 14 produk keluarannya bermula hujung bulan ini atau bulan depan.

Syarikat terbabit yang sinonim dengan pek produk kerepek ketang menggunakan warna jingga dan kuning, bagaimanapun tidak menyatakan dua warna yang akan digunakan.

Namun, dalam kenyataan dikeluarkan, ia memaparkan gambar pek produknya berwarna hitam dan putih.

Calbee mendakwa langkah itu terpaksa diambil susulan ketidakstabilan bekalan membabitkan bahan mentah tertentu, susulan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.

Media tempatan melaporkan pengeluar makanan ringan itu berdepan masalah mendapatkan dakwat percetakan susulan kekurangan nafta, iaitu sejenis minyak yang digunakan secara meluas dalam pelbagai industri.

Produk yang terjejas termasuk beberapa jenis kerepek kentang, selain bijirin sarapan dan Kappa Ebisen iaitu snek udang popular dengan slogan ‘can’t stop, can’t stop’.

“Kami akan terus mengambil tindakan segera dan fleksibel terhadap perubahan dalam persekitaran perniagaan termasuk risiko geopolitik selain berusaha memastikan produk dikeluarkan adalah selamat, boleh dipercayai dan memuaskan,” katanya.

Sementara itu, syarikat makanan Jepun, Itoham Yonekyu Holdings, turut memberitahu AFP, penggunaan pembungkusan hitam putih atau jenis dakwat berbeza bagi sesetengah produknya adalah antara pilihan yang mungkin dipertimbangkan pada masa depan, sambil turut menyalahkan masalah bekalan akibat konflik Asia Barat.

Kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia lazimnya melalui Selat Hormuz dan penutupan laluan itu sejak perang bermula pada penghujung Februari menyebabkan harga melambung tinggi.

Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi sebelum ini berkata, bekalan produk kimia berasaskan nafta mencukupi sehingga hujung tahun selepas meningkatkan kadar import dari luar Asia Barat.

Minggu lalu, Takaichi berkata, tekanan terhadap bekalan minyak global memberi kesan besar kepada rantau Asia Pasifik. – AFP, BH Online –

IMedikel TV


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here