Aktiviti seismik dilaporkan meningkat di gunung berapi Nevado del Ruiz yang mengorbankan 25,000 orang 38 tahun lalu, kata pihak berkuasa semalam dan memberi amaran mengenai kemungkinan letusan baharu.
Letusan 1985 dianggap bencana alam paling teruk dalam sejarah Colombia dan antara letusan gunung berapi paling maut pada abad ke-20.
Kementerian Perlombongan dalam satu kenyataan berkata, terdapat peningkatan ketara dalam aktiviti seismik baru-baru ini, manakala perkhidmatan geologi SGC Colombia memberi amaran mengenai kemungkinan letusan dalam beberapa hari atau minggu akan datang.
Presiden Gustavo Petro pula dalam ciapan Twitter berkata: “Kami mempunyai amaran jingga kerana perubahan dalam seismologi di gunung berapi Ruiz. Datuk Bandar mesti menyediakan protokol untuk keadaan berjaga-jaga ini.”
Menurut unit pengurusan risiko bencana UNGRD Colombia, tahap jingga bermaksud kemungkinan letusan lebih besar daripada mana-mana dalam dekad lalu.
Gunung setinggi 5,300 meter di barat Colombia adalah antara gunung berapi di Lingkaran Api, laluan di sekitar lembangan Pasifik yang dicirikan oleh gunung berapi aktif dan gempa bumi yang kerap.
Pada 13 November 1985, ia mengeluarkan terlalu banyak haba sehingga mencairkan salji yang menutupi gunung itu.
Ini mencetuskan dinding lumpur yang melata yang menelan bandar Armero, membunuh separuh daripada 50,000 penduduknya.
SGC berkata satu lagi letusan adalah kebarangkalian pihak berkuasa mesti bersedia, namun menggesa penduduk untuk bertenang tetapi mengikuti perkembangan terkini.
Sumber: BH Online & AFP
– Imedikel TV






