Lapan termasuk dua kanak-kanak ditemukan maut dipercayai lemas selepas cuba menyeberangi paya berhampiran sempadan Kanada-Amerika Syarikat (AS) secara haram, semalam.
Ketua polis tempatan, Shawn Dulude, berkata mayat mangsa ditemui berhampiran bot karam dimiliki lelaki daripada komuniti Akwesasne Mohawk yang dilaporkan hilang.
Katanya, tindakan menyeberangi laluan itu kadangkala dibantu penduduk tempatan, terutama golongan muda yang memerlukan wang atau dieksplotasi pertubuhan jenayah.
“Setakat ini lapan mayat ditemui. Dua ditemui semalam, masing-masing seorang bayi warga Kanada berketurunan Romania, dan wanita dewasa dipercayai warga India,” katanya pada sidang media.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis tempatan, Lee-Ann O’Brien, mengakui berdepan kesukaran mengeluarkan mayat mangsa nahas berkenaan.
Pihak berkuasa Kanada pula percaya semua mangsa cuba masuk ke AS secara haram dari negara itu.
Kelmarin, enam mayat dipercayai daripada dua keluarga berbeza, termasuk seorang pemegang pasport Kanada berketurunan Romania, seorang lagi dari India serta seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah ditemukan.
Mayat pertama ditemui ketika misi pencarian dibuat di sekitar lokasi kejadian.
Wilayah suku Mohawk meliputi Quebec dan Ontario di Kanada serta New York dekat AS.
Bot karam itu dikatakan ‘sangat kecil’ untuk berdepan cuaca buruk, termasuk hujan dan angin kencang.
Pihak berkuasa ketika ini sedang menunggu laporan bedah siasat serta hasil ujian toksikologi bagi menentukan punca kematian.
Sumber: BH Online & AFP
– Imedikel TV






