MEXICO CITY: Tentera Mexico menahan seorang ketua sindiket dadah yang tersenarai dalam 10 individu paling dikehendaki Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dalam operasi yang mengorbankan empat anggota tentera dan tujuh lelaki disyaki anggota kumpulan bersenjata.
Memetik laporan Afp menerusi Berita Harian,Fausto Isidro Meza, 44, yang dikenali sebagai ‘Chapo Isidro’, ditangkap dalam serbuan pasukan khas pada malam Jumaat di Sinaloa, barat laut Mexico.
Turut ditahan ialah individu yang dipercayai orang kanannya dan pengurus kewangan sindiket berkenaan.
Kementerian Pertahanan Mexico berkata, tujuh lelaki disyaki anggota kumpulan bersenjata terbunuh, manakala lapan individu ditahan, termasuk tiga pemimpin kanan sindiket itu.
Empat anggota tentera yang dihantar untuk memperkukuh keselamatan di bandar Guasave turut terbunuh apabila kumpulan berkenaan melancarkan serangan bagi menghalang penahanan ketua mereka.
Dalam operasi itu, tentera turut merampas senapang berkaliber .50, pelancar bom tangan, beberapa bom tangan, senjata api lain, dadah dan wang tunai.
Tiada orang awam dilaporkan terkorban dalam operasi itu.
Satu video yang belum disahkan dipercayai menunjukkan Chapo Isidro meminta anggota kumpulannya menghentikan keganasan kerana tindakan mereka boleh membahayakan kanak-kanak, wanita dan orang awam yang tidak bersalah.
Menurut pihak berkuasa AS dan Mexico, Chapo Isidro mengetuai sindiket pengedaran dadah yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Beltran Leyva serta bersekutu dengan salah satu daripada dua puak yang bersaing dalam Kartel Sinaloa.
Beliau berdepan pertuduhan jenayah di Mexico dan AS.
FBI menyenaraikannya sebagai antara 10 individu paling dikehendaki, manakala Jabatan Negara AS menawarkan ganjaran sehingga AS$5 juta (RM20.49 juta) bagi maklumat yang membawa kepada penangkapannya.
Menurut notis buruan FBI, kumpulan itu bertanggungjawab menyeludup pelbagai jenis dadah dalam kuantiti besar ke AS, termasuk heroin, methamphetamine, kokain, fentanyl dan ganja.
Agensi Penguatkuasaan Dadah AS (DEA) menyifatkan penangkapan itu sebagai kejayaan besar dalam usaha membanteras antara rangkaian jenayah paling ganas di Mexico.
Agensi itu berkata, sindiket berkenaan menjadi punca keganasan di Mexico sejak beberapa dekad lalu selain menyeludup dadah, termasuk fentanyl, ke AS.
Penangkapan Chapo Isidro berlaku beberapa hari selepas Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, bertemu Presiden AS, Donald Trump, di luar satu sidang kemuncak di Asia.
Trump yang sebelum ini mendesak Mexico mengambil tindakan lebih tegas terhadap sindiket dadah, berkata kedua-dua pemimpin membincangkan isu perdagangan dan keselamatan pada Jumaat.
“Kami bekerjasama dengannya untuk menangani kartel kerana kartel kini menguasai Mexico. Saya sudah memberitahunya perkara itu dan kita tidak boleh membiarkan kartel menguasai Mexico. Negara itu jiran kami,” katanya kepada wartawan di Rumah Putih.
Tentera Mexico berkata, operasi itu dijalankan dengan kerjasama risikan AS sebagai sebahagian daripada usaha kerjasama antara kedua-dua negara.
Awal tahun ini, Sheinbaum berdepan tekanan politik selepas timbul pendedahan bahawa anggota risikan AS beroperasi di Mexico tanpa kebenaran kerajaan negara itu.
Pendedahan itu menyusuli kematian dua individu yang dilaporkan sebagai ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) dalam satu kemalangan jalan raya. – AFP, BH Online –
IMedikelTV






