Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
TEMERLOH: Kerajaan Pahang memperuntukkan RM450,000 tahun depan bagi mempergiat usaha menghapuskan spesies ikan asing invasif, khususnya baung ekor merah yang mengancam keseimbangan ekosistem sungai di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh usaha konservasi serta pembangunan sektor perikanan menerusi Jabatan Perikanan Negeri Pahang.
Menurutnya, ancaman spesies ikan asing perlu ditangani secara berterusan bagi memastikan keseimbangan ekosistem sungai dan kelangsungan spesies ikan tempatan terus terpelihara.
“Usaha menghapuskan spesies asing termasuk baung ekor merah di negeri ini dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu menerusi program menangkap spesies berkenaan di perairan umum di daerah Pekan, Temerloh, Jerantut, Maran, Lipis dan Raub.
“Kesungguhan Jabatan Perikanan Negeri Pahang dalam menjayakan aktiviti menangkap spesies ikan asing ini harus dipuji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Pahang 1st Tawan Baung Ekor Merah Fest di Dataran Pekan Sehari Kuala Krau, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak; Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain dan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Roslan Abu Hasan.
Seramai 1,110 peserta menyertai pertandingan memancing yang berlangsung di tujuh lokasi melibatkan lima daerah iaitu Pekan, Maran, Jerantut, Temerloh dan Lipis.
Program berkenaan bukan sekadar pertandingan memancing, malah membawa mesej penting mengenai kepentingan memelihara ekosistem sungai serta melindungi spesies ikan tempatan daripada ancaman ikan asing invasif.
Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 kepada juara kategori ikan terberat, RM2,000 bagi naib juara dan RM1,000 untuk tempat ketiga.
Bagi kategori ikan terbanyak di tujuh kawasan, hadiah wang tunai RM10,000 ditawarkan, manakala RM5,000 disediakan bagi kategori ikan terberat di tujuh lokasi.
Penganjuran festival itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Perikanan Malaysia menerusi Pejabat Perikanan Negeri Pahang untuk mengawal populasi ikan asing invasif yang berpotensi mengancam keseimbangan ekosistem perairan darat serta kelangsungan spesies ikan tempatan.
Untuk rekod, sebanyak 10 siri program kesedaran, inventori dan pertandingan memburu ikan asing dilaksanakan di beberapa daerah di Pahang sejak 2022 hingga Julai 2026.
Menerusi pelaksanaan program berkenaan, lebih 1,273 kilogram ikan baung ekor merah berjaya ditangkap.
IMedikelTV






