Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang bekas jurujual motosikal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 16 pertuduhan pecah amanah dengan nilai RM150,300, antara 3 April tahun lalu hingga 30 Jun lalu.
Tertuduh, Zuehardy Mustapa, 41, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah jenayah iaitu menjadikan harta itu bagi kegunaan sendiri yang bernilai antara RM1,000 hingga RM48,700 dengan jumlah keseluruhan RM150,300.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dua bank di sekitar Kota Bharu, antara 3 April 2023 hingga 30 Jun 2024.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 14 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Alini Ahamad Kamil.
Terdahulu, Kamarul Hasyime menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, Nur Alini merayu supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu memandangkan anak guamnya sudah berhenti kerja dan perlu menanggung isteri dan dua anaknya.
Jelasnya, tertuduh sebelum ini mengalami kecederaan pada lutut dan dan perlu menjalani rawatan fisioterapi namun tidak mampu kerana mengalami kekangan dari segi kewangan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 untuk semua pertuduhan dan menetapkan 6 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
IMedikel TV






