Home Luar Negara SRI LANKA MENGUNDI, PEMILIHAN PENTING TENTUKAN MASA DEPAN NEGARA

SRI LANKA MENGUNDI, PEMILIHAN PENTING TENTUKAN MASA DEPAN NEGARA

138
0

COLOMBO: Jutaan rakyat Sri Lanka keluar mengundi hari ini bagi memilih presiden baharu yang akan menggalas tanggungjawab mengukuhkan pemulihan ekonomi negara Asia Selatan itu selepas krisis kewangan terburuk dalam beberapa dekad.

Lebih 17 juta daripada 22 juta penduduk Sri Lanka layak mengundi dalam pilihan raya presiden yang dijangka menjadi pertandingan sengit antara presiden sedia ada, Ranil Wickremesinghe, pemimpin pembangkang utama, Sajith Premadasa dan pencabar berfikiran Marxist, Anura Kumara Dissanayake.

Pengundian bermula jam 7 pagi waktu tempatan (0130 GMT) dan berakhir pada jam 4 petang (1030 GMT), dengan pengiraan dijadualkan bermula tidak lama selepas itu.

“Semua persiapan sudah dimuktamadkan untuk mengadakan pilihan raya di lebih 13,000 pusat pengundian di seluruh negara dan seramai 250,000 pegawai awam akan dikerahkan untuk menguruskan pilihan raya ini,” kata ketua Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sri Lanka, RML Rathnayake kepada Reuters.

Ini adalah pilihan raya pertama sejak ekonomi Sri Lanka merudum pada 2022 akibat kekurangan mata wang asing yang teruk, menyebabkan negara pulau di Lautan Hindi itu tidak mampu membayar kos import barangan keperluan seperti bahan bakar, ubat-ubatan, dan gas memasak.

Ribuan penunjuk perasaan berarak di Colombo pada 2022 dan menduduki pejabat dan kediaman presiden, memaksa bekas Presiden, Gotabaya Rajapaksa, melarikan diri dan kemudian meletakkan jawatan.

Didorong oleh program bantuan bernilai AS$2.9 bilion dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ekonomi Sri Lanka mencatatkan pemulihan tentatif tetapi kos hidup yang tinggi tetap menjadi isu utama bagi ramai pengundi.

Inflasi menurun kepada 0.5 peratus bulan lalu dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka berkembang pada 2024 untuk kali pertama dalam tempoh tiga tahun.

Namun, berjuta-juta rakyat masih terperangkap dalam kemiskinan dan hutang, dengan ramai yang meletakkan harapan untuk masa depan yang lebih baik kepada pemimpin seterusnya.

Sistem pengundian berperingkat di Sri Lanka membolehkan pengundi memberikan tiga undi pilihan untuk calon pilihan mereka, dengan mana-mana calon yang memperoleh 50 peratus undi atau lebih diisytiharkan sebagai pemenang.

Jika tiada calon yang memperoleh 50 peratus undi dalam pusingan pertama, akan ada pusingan kedua pengiraan antara dua calon teratas, dengan undi pilihan baki calon lain diagihkan semula.

SPR akan mengumumkan pemenang secara rasmi, yang dijangka dilakukan esok.

Sesiapa yang memenangi pilihan raya perlu memastikan Sri Lanka kekal dalam program IMF sehingga 2027 untuk memulihkan ekonomi ke arah pertumbuhan yang stabil, meyakinkan pasaran, menarik pelabur, dan membantu 25 peratus daripada 22 juta penduduknya keluar dari kemiskinan akibat krisis. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here