Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus giat memperkasakan penguatkuasaan ke atas aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi pemeriksaan yang dijalankan di hotel, ladang teh serta stesen minyak sekitar Cameron Highlands di bawah OPS TIRIS.
Pegawai penguat kuasa KPDN telah digerakkan di seluruh negara bagi memastikan penguatkuasaan menyeluruh dibuat ke atas pihak-pihak yang mempunyai lesen yang sah di semua peringkat, kawasan dan lokaliti termasuk kawasan bandar serta di luar bandar.
Penguat kuasa terlibat turut menjalankan pemeriksaan dan naziran terhadap stesen minyak, pemborong diesel berlesen/bunkering/eksport, pemegang permit berlesen dan persatuan nelayan serta mengeluarkan notis di bawah Sekyen 8 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bertujuan mendapatkan maklumat punca bekalan minyak diesel, harga belian dan sumber penjualan minyak.

Menurut kenyataan media, tindakan ini dibuat untuk mengenalpasti sekiranya berlaku ketirisan minyak diesel bersubsidi kepada pihak atau sektor yang tidak layak.
Menerusi OPS TIRIS ini, pihak Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan tindakan tegas akan diambil di pelbagai 2 peringkat bagi memastikan isu penyelewengan dan ketirisan minyak diesel bersubsidi ini dapat dibendung secara menyeluruh.
Berdasarkan statistik penguatkuasaan OPS TIRIS bermula 1 Mac 2023 sehingga 17 Mac 2023, sebanyak 2,164 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara merangkumi stesen minyak, pemborong, pengilang, kuari, pos kawalan dan lain-lain premis.
Daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 55 kes (19 kes serahan agensi) telah dihasilkan melibatkan stesen minyak, rumah, pemborong, kuari, bengkel kenderaan dan lain-lain serta nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1.2 juta.
Seramai 54 orang warganegara tempatan dan 9 orang warganegara asing menjadikan sejumlah 63 orang telah ditahan sepanjang OPS TIRIS ini dilancarkan.

KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua yang berkenaan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini.
Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah AKB 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua- 3 duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).
Sumber: BH Online & AFP
– Imedikel TV






