LONDON: Kemenangan Liverpool ke atas Sheffield United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam dihentikan sementara bagi membolehkan Mohamed Salah, Ibrahima Konate dan pemain Sheffield, Anel Ahmedhodzic berbuka puasa.
Pengadil Stuart Attwell membenarkan permainan itu dihentikan seketika di Anfield bagi memberi laluan kepada pemain beragama Islam yang berpuasa menunaikan tanggungjawab mereka berbuka puasa apabila masuk waktu Maghrib.
The Reds mendahului sebelum itu menerusi Darwin Nunez apabila selepas kira-kira 25 minit, pegawai perlawanan itu mengarahkan permainan dihentikan untuk iftar.
Ketika Salah, Konate dan Ahmedhodzic berpeluang untuk berbuka puasa secara ringkas bersama rakan sepasukan mereka, penonton yang hadir menyaksikan perlawanan itu bertepuk tangan tanda sokongan.
Peraturan dalam liga utama Inggeris itu bukannya satu perkara baharu buat musim ini.
Sejak 2021, satu perjanjian dimuktamadkan bagi membolehkan pemain beragama Islam berbuka puasa ketika perlawanan berlangsung.
Sehari sebelumnya, aksi EPL antara Newcastle United dan Everton di St James’ Park turut dihentikan selama 20 minit bagi membolehkan pemain berbuka puasa.
Beberapa pemain Everton termasuk Amadou Onana, Idrissa Gueye dan Abdoulaye Doucoure berada di tepi padang sambil meneguk air dan makan sebentar. – AGENSI,BH Online –
Imedikel TV






