Home Segmen Kesihatan ELAK SALAH GUNA UBAT BATUK SECARA BERLEBIHAN

ELAK SALAH GUNA UBAT BATUK SECARA BERLEBIHAN

930
0

Batuk adalah salah satu tindak balas refleks tubuh badan untuk melegakan tekak dan salur pernafasan.

Bagaimanapun, jika batuk berlarutan ia akan mendatangkan masalah kesihatan. Kebiasaannya, seseorang individu akan mencari ubat untuk melegakan batuk disebabkan ketidakselesaan yang dialaminya.

Terdapat dua jenis batuk yang sering berlaku iaitu batuk berkahak (productive cough) dan batuk tidak berkahak (non-productive cough).

Kedua-dua jenis batuk ini adalah berbeza dari segi punca berlaku dan jenis ubatnya.

Dengan itu penting untuk mengenalpasti jenis batuk yang dialami supaya rawatan yang diberikan adalah berkesan.

Tahukah anda ubat batuk seringkali dikaitkan dengan penyalahgunaannya oleh golongan tertentu terutama dalam kalangan belia.

Namun tidak semua jenis ubat batuk boleh menyebabkan ketagihan. Masalah ketagihan ubat tidak akan berlaku jika ia diambil pada dos dan selang masa yang betul.

Antara jenis ubat batuk yang sering disalahgunakan ialah Dihydrocodeine dan Dextromethorphan.

Ubat batuk jenis ini jika diminum berlebihan akan memberikan kesan narkotik seperti melalikan, melemahkan deria dan ketagihan.

Dihydrocodeine adalah ubat batuk dan ubat tahan sakit yang disenaraikan di dalam Akta Racun 1952 sebagai salah satu ubat yang hanya boleh didapati daripada ahli farmasi berlesen dengan preskripsi doktor.

Manakala Dextromethorphan juga salah satu ubat batuk yang sering disalah guna.

Ubat ini boleh diperoleh daripada ahli farmasi di kedai farmasi tanpa preskripsi daripada doktor. Walaubagaimanapun, terdapat penjualan secara haram yang meningkatkan masalah ketagihan ubat batuk

Selain harganya yang murah, warna sediaan ubat ini juga merupakan ciri utama yang tidak dapat dibezakan dengan warna minuman ringan yang terdapat di pasaran.

Warna perang gelap ubat ini serupa dengan warna kopi `O’ atau minuman cola. Kebanyakan ubat batuk yang dijual secara haram biasanya dimasukan ke dalam plastik minuman biasa, bekas-bekas atau botol minuman ringan berkarbonat.

Kebiasaannya, individu yang menyalahgunakan ubat batuk ini meminum lebih daripada dos yang disyorkan untuk mendapatkan kesan serta merta.

Terdapat beberapa kesan jika seseorang salah menggunakan ubat batu secara berlebihan.

Pengambilan ubat batuk mengandungi Dihydrocodeine yang berlebihan akan memberi kesan mengantuk serta mengurangkan tahap aktiviti mental, rasa pening, mual dan seterusnya muntah.

Apabila ia diambil berulang kali, ia boleh menyebabkan seseorang itu bergantung kepadanya dan memerlukannya setiap hari. Kesan kebergantungan ini dipanggil tolerans.

Dos ubat terpaksa ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan kesan seperti yang pernah dialami sebelumnya. Lama-kelamaan lebih banyak ubat diperlukan setiap kali pengambilan. Ini membuatkan seseorang ketagih terhadap ubat batuk tersebut.

Pengambilan ubat secara berterusan dengan kuantiti yang berlebihan akan memberi kesan sampingan yang berbahaya. Kesan pengambilan ubat batuk secara berlebihan akan menunjukkan kesan ketagih dalam bentuk pergantungan fizikal, mental dan emosi. Penagih akan mengalami kerosakan paru-paru, hati, sistem penghadaman (zat makanan tidak mencukupi) dan buah pinggang.

Otot-otot badan akan mengecut (badan menjadi lesu dan tidak bermaya) dan berat badan menurun. Penagih selalunya akan sentiasa berada dalam keadaan khayal, lali dan hanya berminat untuk tidur.

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here