ABIDJAN: Kemenangan buat pasukan tuan rumah pada final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) awal pagi tadi memastikan penamat kisah dongeng dengan Ivory Coast meraikan kejayaan di dalam dan di luar padang.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Kejohanan selama sebulan itu mencetus satu tahap baharu dengan banyak perlawanan menarik, bermula dengan beberapa siri kejutan dramatik dan berakhir dengan kegemilangan buat tuan rumah.
Ivory menundukkan Nigeria 2-1 pada perlawanan akhir bagi melengkapkan kebangkitan kisah dongeng sesudah bergelut pada peringkat awal dan mengalami kekalahan terbesar pernah dirasai negara tuan rumah.
Kekalahan 4-0 di tangan negara kerdil Equatorial Guinea pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan adalah kejutan paling besar pada edisi ke-34 Piala Negara-Negara, yang sudah berlangsung lebih daripada enam dekad.
Ia menyebabkan Ivory Coast berada di ambang penyingkiran tetapi mereka berjaya juga layak ke pusingan kalah mati sebagai pasukan tangga ketiga terbaik, memecat jurulatih mereka, mengubah barisan pemain dan perlahan-lahan membina momentum.
“Selepas tamparan itu, ia terlalu sukar tetapi ia membantu kami untuk bangkit lebih kuat sekali gus menggunakan peluang kedua kami dan membuktikan kepada setiap orang kami adalah yang terbaik,” kata pemain tengah Ivory, Seko Fofana.
Kejohanan itu kelihatan ditakdirkan dengan penamat bergaya, sesudah bermula dengan keputusan mengejut yang menyaksikan beberapa negara kuasa besar tersungkur awal ketika pasukan kurang ternama terbukti lebih kompetitif pada kejohanan 24 pasukan itu.
Kepulauan Cape Verde, negara paling kecil yang bertanding, menyingkirkan Ghana pada pusingan kalah mati sebelum tumpas menerusi penentuan sepakan penalti bagi memburu tempat ke separuh akhir.
Kejutan dilakukan Equatorial Guinea turut luar biasa dan kapten mereka yang berusia 34 tahun, Emilio Nsue, yang beraksi dengan kelab divisyen tiga di Sepanyol, berakhir sebagai penjaring gol terbanyak kejohanan.
Ada banyak lagi berita menarik tetapi dua pemain ternama mengharungi kejohanan yang mengecewakan.
Penyerang Mesir, Mohamed Salah terkeluar dengan kecederaan hamstring, Sadio Mane pulang selepas pusingan 16 terakhir ketika penyandang juara Senegal tersungkur di tangan Maghribi, yang layak ke separuh akhir Piala Dunia 14 bulan lalu, terkandas pada pusingan sama, sekali lagi gagal memenuhi status mereka sebagai pasukan pilihan utama kejohanan.
Piala Negara-Negara sering kali menjadi tumpuan dan sering dimeriahkan dengan kontroversi di dalam mahupun di luar padang namun kebanyakannya berakhir dengan mutu perlawanan yang rendah.
Kejohanan terdahulu juga menyaksikan banyak kerusi penonton kosong bagi perlawanan yang tidak membabitkan tuan rumah.
Namun Ivory Coast, yang mempercepatkan tempoh kejohanan itu enam bulan bagi mengelak musim hujan di barat Afrika, mengubah tanggapan itu, dibantu dengan kualiti padang yang bagus dan penonton yang ramai di kebanyakan perlawanan.
“Dengan imej yang kami pamerkan hari ini, Afrika pasti berbangga,” kata kapten Ivory Coast, Serge Aurier selepas final awal pagi tadi.
“Kami semakin berkembang, sama ada dari segi pasukan, stadium, persekitaran kehidupan.”
Piala Negara-Negara 2025 akan diadakan di Maghribi, dengan infrastruktur dijangka lebih bagus.
Namun belum ada penjelasan daripada Konfederasi Bolasepak Afrika bila kejohanan itu akan diadakan, sama ada pada permulaan tahun atau pada Jun-Julai yang mana ia akan bertembung dengan Piala Dunia Kelab FIFA. – REUTERS,BH Online-
Imedikel TV






