SEOUL: Korea Utara melancarkan satu lagi peluru berpandu balistik semalam, mendorong Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan memberi amaran sebarang serangan nuklear akan membawa kepada berakhirnya rejim Pyongyang.
Ketua Turus Bersama Seoul berkata tenteranya mengesan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang dilancarkan dari kawasan Pyongyang ke arah Laut Timur pada sekitar jam 22.38 (1338 GMT) semalam.
Peluru berpandu itu terbang sekitar 570 kilometer (km) sebelum mendarat di Laut Timur, katanya, sambil menambah Seoul, Washington dan Tokyo sudah berkongsi maklumat berkaitan peluru berpandu balistik Korea Utara itu.
Kementerian Pertahanan Jepun berkata, peluru berpandu yang diuji kali ini difahamkan mungkin boleh mencapai jarak merangkumi mana-mana sasaran di keseluruhan AS dan Jepun.
“Peluru berpandu kelas ICBM yang dilancarkan kali ini, jika dikira berdasarkan trajektori, bergantung kepada berat kepala peledak, boleh terbang meliputi jarak lebih 15,000km.
“Ini bermakna ia boleh sampai ke mana-mana sasaran di keseluruhan wilayah AS,” kata Naib Menteri Pertahanan Parlimen Jepun, Shingo Miyake.
Kementerian pertahanan Jepun juga berkata Korea Utara melancarkan ‘apa yang kelihatan seperti ICBM’, dengan pengawal pantainya menambah bahawa ia seolah-olah sudah jatuh.
Kedua-dua sekutu iaitu Korea Selatan dan AS, pada Jumaat lalu mengadakan sesi kedua Kumpulan Perundingan Nuklear di Washington, di mana mereka membincangkan pencegahan nuklear sekiranya berlaku konflik dengan Korea Utara.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Utara semalam menyelar rancangan sekutu itu untuk mengembangkan latihan ketenteraan bersama tahunan pada tahun depan.
“Khususnya mengenai usul untuk memasukkan operasi nuklear dalam latihan mereka, yang akan kami saingi dengan ‘tindakan balas maut’.
“Ini adalah deklarasi terbuka mengenai konfrontasi nuklear jika ada mana-mana pihak mahu menggunakan senjata nuklear terhadap Korea Utara,” katanya.
Pemerintah Indo Pasifik AS, dalam satu kenyataan, berkata pelancaran terbaru ICBM oleh Korea Utara itu tidak mengancam wilayah AS atau sekutu Washington yang lain.
“Namun, tindakan terbaru ini harus menyedarkan kita mengenai ancaman besar Korea Utara kerana terus membangunkan program senjata nuklear secara haram.
“Komitmen AS terhadap pertahanan Korea Selatan dan Jepun kekal teguh,” katanya. – AFP, BH Oline –
IMEDIKEL TV






