Home Luar Negara 9 MAUT AKIBAT GEMPA BUMI KUAT DI PAKISTAN, AFGHANISTAN

9 MAUT AKIBAT GEMPA BUMI KUAT DI PAKISTAN, AFGHANISTAN

132
0

Jurucakap perkhidmatan kecemasan Pakistan, Bilal Faizi, berkata lebih 100 mangsa dibawa ke hospital di lembah SWAT, Wilayah Khyber Pakhtunkhwa di Barat Laut Pakistan.

“Ramai dalam kalangan penduduk yang panik ini pengsan kerana terlalu takut atau terkejut bila gempa bumi melanda, namun sebahagian besar dibenarkan keluar hospital selepas dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.

Faizi dan pegawai lain mengesahkan sembilan orang terbunuh selepas bumbung runtuh di beberapa kawasan di barat laut Pakistan.

Sementara itu, puluhan cedera akibat gempa bumi yang berpusat di afghanistan dan turut dirasai di Tajikistan selain mengakibatkan tanah runtuh di beberapa kawasan pergunungan serta menjejaskan aliran trafik.

Jurucakap pihak berkuasa pengurusan bencana di Wilayah Barat Laut, Taimoor Khan, berkata sekurang-kurangnya 19 rumah diperbuat daripada lumpur dan bata ranap di perkampungan terpencil dan pihaknya masih mengumpul data kerosakan.

Gegaran kuat menyebabkan orang ramai bertempiaran lari meninggalkan rumah dan pejabat di ibu Negara Pakistan, Islamabad, sambil berdoa atau membaca ayat suci al-quran manakala media melaporkan beberapa bangunan pangsapuri mengalami keretakan.

Suasana yang sama turut dilaporkan di kabul dan kawasan lain di Afghanistan.

Pemantau Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata pusat gempa berukuran 6.5 itu berada kira-kira 40 kilometer (KM) ke tenggara Jurm di kawasan pergunungan Afghanistan, Wilayah Hindukush yang bersempadan dengan Pakistan dan Tajikistan, pada kedalaman 187.6km.

Seorang doktor, Rakhshinda Tauseed, berkata beliau berada di hospitalnya di Lahore, Timur Pakistan, apabila gegaran bermula dan lantas mengarahkan pesakit beredar ke tempat yang lebih selamat.

Senario sama berlaku di Peshawar, Wilayah Khyber Pakhtunkhwa bersempadan dengan Afghanistan, di mana orang ramai dilihat berada di luar rumah dan pejabat mereka.

Perdana Menteri Pakistan, Shahbaz Sharif, dalam satu kenyataan, berkata beliau sudah meminta pasukan pengurusan bencana terus berjaga-jaga bagi menangani sebarang kemungkinan.

Jurucakap kerajaan Taliban di Afghanistan, Zabihullah Mujahid, menerusi ciapan Twitter, berkata Kementerian Kesihatan Awam sudah mengarahkan semua pusat perubatan bersiap siaga. 

Sumber: BH Online & AFP

– Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here