LONDON: Jenayah kecurian telefon pintar di London kini mencatat tahap tertinggi dengan lebih 81,000 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu, lapor Metro UK.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, statistik menunjukkan, hampir separuh daripada telefon yang dicuri tahun lalu kira-kira 40,000 unit diragut di kawasan budaya utama ibu kota itu, yang turut menyumbang sepertiga daripada jumlah kecurian di seluruh London.
Jenayah ini melonjak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya dan lebih 230,000 telefon dilaporkan hilang dalam tempoh empat tahun terakhir.
Namun, pihak berkuasa percaya angka sebenar jauh lebih tinggi kerana banyak kes tidak dilaporkan terutama membabitkan geng terancang yang menjual peranti curi ke luar negara atau meleraikannya untuk dijual sebagai alat ganti mencipta pasaran gelap dianggarkan bernilai 50 juta pound sterling (RM287.43 juta).
Kebanyakan jenayah dilakukan pencuri bermotosikal elektrik atau penyeluk saku, dengan tumpuan kepada mangsa di kawasan sibuk seperti Bloomsbury, Waterloo dan Regent’s Park.
Menurut data terbaharu daripada Polis Metropolitan (Met), seramai 37 orang kehilangan telefon mereka setiap hari di kawasan West End, pusat tumpuan pelancong dan hiburan utama kota London.
Jurucakap Met berkata, London tidak terkecuali daripada lonjakan kecurian telefon secara global.
“Kami terus meningkatkan rondaan, menempatkan anggota berpakaian preman di lokasi panas dan menggunakan teknologi untuk menjejak penjenayah.
Pasukan khas, Flying Squad Met berjaya menahan 10 anggota geng peragut telefon minggu ini sahaja dan sejak Januari 2025, sebanyak 526 tangkapan dibuat berkaitan jenayah kecurian telefon dan rompakan.
Walaupun kes dilaporkan menurun 15 peratus dalam dua bulan pertama 2025 berbanding tempoh sama tahun lalu, polis mengakui masalah itu kekal serius.
Met menasihatkan orang ramai tidak menggunakan telefon di tempat gelap, elakkan dari mempamerkan barangan berharga dan hanya melalui laluan yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Syarikat teknologi utama kini giat membangunkan sistem keselamatan lebih ketat termasuk fungsi mengunci dan memadam data dari jauh jika peranti hilang. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






