NAIROBI: Lebih 60 orang terkorban dalam satu kemalangan jalan raya di selatan Ethiopia, kata pihak berkuasa kesihatan tempatan pada Ahad.
Negeri Sidama terletak di selatan Ethiopia, kira-kira 300 kilometer (km) dari ibu negara Addis Ababa.
Biro Kesihatan Wilayah Sidama dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan bahawa kemalangan jalan raya telah meragut nyawa 66 orang setakat ini, tanpa memberikan butiran lanjut.
Kemalangan di Zon Timur, di jambatan Gelana di Bona Zuria Woreda, menurut biro tersebut.
“Empat penumpang yang cedera sedang menerima rawatan di Hospital Am di Bona,” tambah kenyataan itu.
Imej kabur yang dikongsi oleh biro kesihatan menunjukkan orang ramai mengerumuni sebuah kenderaan yang sebahagiannya tenggelam dalam air, dengan ramai yang kelihatan cuba menariknya keluar dari air.
Gambar lain yang dikongsi menunjukkan mayat, sebahagiannya ditutup dengan kain terpal biru, terbaring di atas tanah.
Biro tersebut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyatakan pihaknya akan berkongsi maklumat lanjut kemudian.
Setakat ini, maklumat terperinci seperti jumlah kenderaan yang terlibat atau bilangan penumpang dalam kejadian masih belum didedahkan.
Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di Ethiopia, negara kedua terpadat di Afrika, di mana jalan raya sering berada dalam keadaan tidak terjaga dengan baik. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






