NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 34 individu terkorban di wilayah timur laut India, susulan banjir besar yang mengakibatkan tanah runtuh sejak empat hari lalu, kata pihak berkuasa dan media pada Isnin lepas.
Jabatan cuaca juga meramalkan hujan lebat akan berlaku dengan lebih kerap.
Menurut satu kenyataan, lebih 1,000 pelancong terperangkap di Sikkim, di banjaran Himalaya dan mereka dipindahkan pada Isnin lalu.
Pasukan penyelamat tentera dikerahkan berkhidmat di Meghalaya untuk menyelamatkan lebih 500 mangsa yang terkandas di kawasan banjir.
Sementara di Bangladesh, sekurang-kurangnya empat ahli keluarga terkorban dalam kejadian tanah runtuh di daerah timur laut Sylhet.
Ratusan tempat perlindungan dibuka merentasi daerah berbukit Rangamati, Bandarban, dan Khagrachhari pada Ahad.
Pihak berkuasa memberi amaran mengenai tanah runtuh dan banjir kilat serta menggesa penduduk di kawasan terdedah bencana untuk terus berjaga-jaga.
Timur laut India dan Bangladesh terdedah kepada hujan lebat yang mengakibatkan tanah runtuh dan banjir kilat yang mengancam nyawa hingga menjejaskan jutaan individu, setiap tahun.
Visual daripada agensi berita Ani menunjukkan jalan dan rumah di bandar Silchar di Assam dinaiki air serta banyak pokok tumbang di jalan raya. – HMetro Online –
IMedikel TV






