Home Buletin Semasa LEMBU KORBAN BUNTING SEMINGGU SEBELUM AIDILADHA

LEMBU KORBAN BUNTING SEMINGGU SEBELUM AIDILADHA

556
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Lembu korban yang disangkakan ‘sado’ rupanya bunting tujuh bulan. Hal itu mengejutkan semua pengambil bahagian yang sudah lama membuat tempahan ibadah korban.

Lembu itu yang kelihatan sihat diketahui bunting seminggu sebelum menjelang Hari Raya Aidiladha yang dijangka Sabtu ini.

Menurut penjaga lembu tersebut, Azman Min, 57 ketika ditemui di Kampung Seneng, Jelawat, lembu tersebut dipelihara olehnya sejak sebulan lalu namun terpaksa mencari lembu lain untuk menggantikannya bagi ibadah korban.

“Saya diamanahkan oleh pemilik lembu untuk menjaga lembu ini sebelum dikorbankan pada Hari Raya Aidiladha nanti. Saya sudah menjaga lembu itu sejak sebulan lalu.

“Pada awalnya lembu itu diperiksa secara fizikal oleh penternak dengan cara menyeluk melalui bahagian belakang lembu sebelum diketahui bunting.

“Tetapi percubaan untuk seluk lembu itu sangat sukar sehingga tali bahagian hidungnya terputus menyebabkan ia bertindak agresif dan melarikan diri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Seneng Jelawat, pada Isnin.

Azman yang juga salah seorang pengambil bahagian lembu berkenaan, berkata berikutan lembu tersebut tidak dapat dijadikan haiwan korban, dia bercadang untuk membelinya dan memeliharanya sendiri memandangkan dia sudah lama berhasrat untuk memelihara lembu, namun belum berpeluang.

“Sebelum ini, saya sering memberi makan rumput dan dedak kepada lembu itu selama dua kali sehari,” katanya.

Jelasnya, bagi menggantikan lembu betina itu, dia sudah menemui lembu baharu untuk dijadikan haiwan korban dan dibeli pada harga RM3,800 serta dipersetujui kesemua pengambil bahagian.

Tambahnya, dia bercadang untuk membina sebuah kandang lembu kecil di belakang rumahnya bagi memudahkan proses penjagaan lembu peliharaannya selepas ini.

Ibadah korban adalah salah satu amalan sunat yang dilakukan pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyriq.

Lazimnya, di Malaysia acara penyembelihan ternakan korban itu dilakukan di masjid, surau, padang awam, balai raya ataupun rumah persendirian.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here