Home Sukan EMPAT GERGASI BURU GELARAN LIGA NEGARA EROPAH

EMPAT GERGASI BURU GELARAN LIGA NEGARA EROPAH

202
0

MUNICH: Separuh akhir Liga Negara Eropah (Nations League) bakal membuka tirainya Rabu ini apabila empat pasukan elit Jerman, Sepanyol, Perancis dan Portugal bersedia untuk memburu kejuaraan sambil memperkemaskan skuad masing-masing menjelang Piala Dunia tahun depan.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, selaku tuan rumah, Jerman akan menentang Portugal di Munich pada Rabu, manakala juara bertahan, Sepanyol bakal berdepan Perancis di Stuttgart sehari kemudian. Kedua-dua pemenang akan bertarung dalam perlawanan akhir di ibu negeri Bavaria itu pada Ahad ini.

Diperkenalkan pada 2018, Liga Negara Eropah sering dianggap kurang prestij berbanding kejohanan antarabangsa utama lain, malah dikritik kerana menambah beban kalendar perlawanan. Namun, kejayaan Sepanyol dan Perancis sebelum ini membuktikan kejohanan ini mampu menjadi batu loncatan ke pentas lebih tinggi.

Perancis menjulang trofi ini pada 2021 sebelum mara ke final Piala Dunia 2022 di Qatar, manakala Sepanyol yang tewas kepada Perancis pada edisi 2021 bangkit muncul juara edisi 2023 sebelum menawan kejuaraan Euro 2024.

Hanya Jerman yang masih belum pernah memenangi kejohanan ini, dengan Portugal merangkul edisi sulung pada 2019.

Kapten Jerman, Joshua Kimmich, dijangka membuat penampilan ke-100 bersama skuad kebangsaan pada aksi menentang Portugal nanti. Pemain tengah Bayern Munich itu menjadi pemain ke-14 Jerman mencapai angka itu, namun satu-satunya yang belum pernah menjulang Piala Dunia.

“Saya masih ada peluang untuk ubah hakikat itu,” kata Kimmich. Kejohanan ini akan tunjukkan sejauh mana kemajuan kami. Sama ada cukup untuk rebut gelaran besar, kita belum tahu. Ia bergantung kepada banyak faktor,” kata Kimmich.

Selepas menjuarai Piala Dunia 2014, Jerman gagal melepasi peringkat kumpulan dalam dua edisi berikutnya dan prestasi terbaik hanyalah mara ke suku akhir Euro 2024 sebelum tunduk kepada juara, Sepanyol.

“Kami mahu tiba di Piala Dunia dalam keadaan bersedia. Persiapan tidak bermula dua minggu sebelum kejohanan, ia sudah bermula sekarang. Dua aksi antarabangsa ini penting untuk buktikan kami masih di landasan yang betul,” kata Kimmich lagi.

Ketua jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann turut senada dengan Kimmich apabila menyatakan mahu menang trofi dan tingkatkan keyakinan diri.

Jerman kehilangan beberapa pemain utama seperti Jamal Musiala, Antonio Rudiger dan Nico Schlotterbeck, manakala Jonathan Burkardt, Nadiem Amiri dan Yann Bisseck turut disahkan cedera hujung minggu lalu.

Perancis pula tidak dapat menurunkan Dayot Upamecano, William Saliba dan Jules Kounde di bahagian pertahanan selain kehilangan Eduardo Camavinga. Enam lagi pemain hanya akan menyertai skuad selepas aksi final Liga Juara-Juara.

Sepanyol pula tidak menyenaraikan pemenang Ballon d’Or, Rodri, yang masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan ACL.

Sementara itu, Portugal tetap menyenaraikan bintang veteran Cristiano Ronaldo, 40, walaupun dia hanya beraksi dalam tiga daripada enam perlawanan terakhir bersama Al Nassr ekoran masalah otot.

Empat pemain Portugal Nuno Mendes, Vitinha, Joao Neves dan Goncalo Ramos akan menyertai skuad selepas membantu Paris Saint-Germain menjuarai Liga Juara-Juara. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here