Home Buletin Semasa 312 TUKUN TIRUAN BABIT RM6.26 JUTA DILABUH DI PERAIRAN KELANTAN

312 TUKUN TIRUAN BABIT RM6.26 JUTA DILABUH DI PERAIRAN KELANTAN

364
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Jabatan Perikanan Malaysia melabuhkan sebanyak 312 tukun tiruan membabitkan nilai RM6.26 juta di empat daerah perairan Kelantan sejak tahun 2007.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Azahari Othman, antara daerah tersebut termasuk Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Putih.

“Pelaksanaan tukun tiruan adalah strategi utama pemuliharaan marin yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan komuniti nelayan dan ekosistem laut.

“Antara jenis tukun yang digunakan termasuk Tukun Dasar Lembut (TDL), Tukun Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda (TDL-PT), Tukun Rekreasi (TR) dan Tukun Keluli,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pelabuhan tukun tiruan bukan sahaja meningkatkan hasil perikanan tempatan, malah melindungi habitat marin daripada ancaman aktiviti penangkapan haram dan perubahan iklim.

Tambahnya, inisiatif itu selaras dengan komitmen negara terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 14: Life Below Water), khususnya dalam usaha memulihara dan menggunakan secara lestari sumber lautan dan ekosistem marin.

Jelasnya, pada tahun ini, sebanyak 12 unit Tukun Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda (TDL-PT) dilabuhkan di perairan Pasir Puteh dan Bachok membabitkan peruntukkan sebanyak RM1.68 juta.

“Peruntukan ini merangkumi pelabuhan tukun di Tok Bali (RM200,000), Sungai Gali (RM200,000) serta melalui inisiatif khas Ecological Fiscal Transfer (EFT) berjumlah RM1.28 juta yang disalurkan oleh kerajaan negeri.

“Setiap tukun seberat 15 tan metrik dengan ukuran 2.6 meter tinggi dan 2.5meter lebar serta panjang, dibina menggunakan konkrit bertetulang mengikut spesifikasi teknikal yang mematuhi garis panduan Guidelines for the Placement of Artificial Reefsoleh United Nations Environment Programme (UNEP),” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here