KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 27 maut, manakala 183 lagi cedera susulan pertempuran yang meletus antara angkatan tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), semalam.
Pertempuran kedua-dua pihak itu dikatakan berpunca bagi mengawal lonjakan keganasan menjelang pilihan raya selepas rampasan kuasa tentera.
Kesatuan doktor Sudan, berkata pihaknya tidak pasti sama ada mangsa dalam pertempuran antara tentera dan RSF itu membabitkan orang awam atau sebaliknya.
Katanya, kes kematian direkodkan di lapangan terbang Khartoum dan bandar berdekatan Omdurman serta di Bandar Nyala, El Obeid dan El Fasher, yang terletak di barat ibu negara Khartoum.
Kumpulan separa tentera RSF mendakwa merampas istana presiden, Kediaman Ketua Tentera, Stesen Televisyen Negara, Lapangan Terbang di Khartoum, bandar Utara Merowe, El Fasher dan negeri Darfur Barat, namun dinafikan pasukan tentera.
Tentera udara sudan semalam menasihati orang ramai untuk kekal berada di rumah ketika tinjauan udara bagi mengenal pasti aktiviti rsf, selain cuti diisytihar di khartoum hari ini, sekali gus menyaksikan sekolah, bank dan pejabat kerajaan ditutup.
Bunyi tembakan dan letupan didengari di seluruh ibu negara dengan rakaman televisyen menunjukkan kepulan asap di beberapa daerah, manakala video di media sosial merakamkan jet tentera terbang rendah.
Saksi melaporkan, tembakan berlaku di bandar bersebelahan.
Wartawan Reuters pula melihat meriam dan kenderaan berperisai dikerahkan dekat jalanan di ibu negara, selain terdengar tembakan senjata berat berhampiran ibu pejabat kedua-dua pihak tentera dan RSF.
Bercakap kepada TV Al Jazeera, Panglima Tentera Jeneral, Sbdel Fattah Al-Burhan memberi amaran supaya RSF berundur.
“Mereka (RSF) diminta supaya berundur di Khartoum sekiranya bijak. Kita akan mengerahkan tentera dari kawasan lain ke Khartoum jika keadaan ini berterusan.
“Kami tahu lokasi persembunyian kamu dan akan ke sana untuk membawa dan mendakwa ke mahkamah atau bakal mati sama.” – ABDEL FATTAH AL-BURHAN, Panglima Tentera Jeneral
Angkatan tentera menerusi entri di Facebook, berkata pihaknya tidak akan berunding dengan RSF kecuali pasukan separa tentera dibubarkan.
Sementara itu, pemimpin RSF, Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo atau lebih dikenali sebagai hemedti, menggelar Abdel Fattah sebagai ‘Penjenayah’ dan ‘Pembohong’.
Tentera dan RSF bersaing mendapatkan kuasa ketika gabungan politik berunding membentuk kerajaan peralihan.
Konfrontasi berterusan antara RSF dan tentera boleh mengakibatkan konflik di Sudan semakin meluas kerana bergelut dengan keruntuhan ekonomi dan keganasan suku kaum, selain mampu menggagalkan usaha ke arah pilihan raya
Sumber: BH Online & Reuters
Imedikel TV






