Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kira-kira 150 peniaga di Bazar Buluh Kubu, di sini menyambut baik usaha kerajaan untuk membaik pulih dan menaik taraf bazar berkenaan yang disifatkan sebagai memberi nafas baharu kepada mereka.
Pengerusi Persatuan Batik dan Kraf Bazar Buluh Kubu, Datin Nik Rosmawati Nik Yusoff berkata, kebanyakan peniaga yang sudah berniaga lebih 20 tahun di bazar tersebut amat terharu dengan perancangan itu.

“Saya rasa sangat terharu apabila bazar ini akan dinaik taraf dan dijenamakan semula menjadi Bazar Siti Aisyah. Saya yakin pengubahsuaian ini akan memberi perubahan besar kepada peniaga batik dan kraf di sini.
“Semua peniaga menyambut baik usaha ini walaupun banyak aduan mengenai keadaan bazar yang lama dan uzur, akhirnya ia akan dibaik pulih,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Majlis Hari Raya di bazar tersebut, hari ini.
Beliau berkata, pembaharuan itu amat diperlukan memandangkan bazar berkenaan merupakan ikon pelancongan negeri yang menawarkan pelbagai produk batik dan kraf tempatan.
Namun, katanya, keadaan bazar yang semakin uzur selain kekurangan kemudahan seperti laluan Orang Kurang Upaya (OKU) dan kawasan parkir yang terhad menjadikan naik taraf itu sesuatu yang amat dinantikan.

Tambahnya, sepanjang tempoh kerja naik taraf dijalankan, peniaga diberi peluang untuk berpindah sementara ke sebuah pasaraya yang tidak beroperasi ‘The Store’ dan kini sedang dibaik pulih.
“Namun, ada juga peniaga yang kurang berkemampuan untuk berpindah ke pasaraya itu kerana kos yang tinggi. Mereka mungkin berniaga di lokasi lain buat sementara waktu.
“Kami berharap selepas projek naik taraf Bazar Buluh Kubu siap, semua peniaga dapat kembali berniaga di sini,” katanya.
Menurutnya, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sudah mengeluarkan notis agar peniaga berpindah dalam tempoh sebulan, namun pihak persatuan memohon agar perpindahan dibuat selepas pasaraya itu siap dibaik pulih.

Nik Rosmawati turut berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian insentif kepada peniaga yang terlibat bagi mengurangkan beban kos perpindahan serta bayaran sewa di lokasi baharu.
“Saya juga berharap orang ramai dan pelancong yang ingin mendapatkan batik dan kraf tempatan dapat mengunjungi pasaraya The Store sepanjang tempoh naik taraf ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan projek menaik taraf Bazar Buluh Kubu sebagai Bazar Siti Aisyah, di sini menerima peruntukan sebanyak RM28 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
Projek itu dilaksanakan oleh PKINK dan dijangka mengambil masa selama 36 bulan bermula tahun 2026 hingga 2028.
Bazar Buluh Kubu merupakan bazar moden pertama di Kota Bharu yang dibuka pada 1985 dan terkenal dengan penjualan barangan kraftangan, kain tempatan seperti batik dan songket, hasil tembaga, ukiran kayu, pakaian moden serta makanan dan kuih tradisional.
IMedikel TV






