SEOUL: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian seekor serigala yang terlepas dari sebuah zoo di Korea Selatan masih bebas, sekali gus memaksa sebuah sekolah berhampiran ditutup atas faktor keselamatan ketika operasi mencarinya diteruskan.
Menurut pihak berkuasa, serigala jantan berusia dua tahun dan seberat kira-kira 30 kilogram, melarikan diri dari zoo di sebuah taman tema di Daejeon, kira-kira 150 kilometer di selatan Seoul, semalam sekali gus mencetuskan operasi pencarian besar-besaran di kawasan sekitar.
“Haiwan itu masih belum ditemui setakat hari ini, manakala sebuah sekolah berhampiran mengambil langkah menutup operasi demi keselamatan.
“Sekolah Rendah Daejeon Sanseong ditutup hari ini susulan kejadian seekor serigala terlepas dari zoo semalam,” kata jurucakap Pejabat Pendidikan Metropolitan Daejeon.
Sementara itu, pegawai dari Ibu Pejabat Bomba Daejeon berkata, lebih 300 anggota termasuk anggota bomba, polis dan tentera terbabit dalam operasi pencarian.
“Kami menggunakan dron berkamera sejak awal pagi, tetapi terpaksa menghentikannya akibat hujan berterusan.
“Serigala itu dilaporkan menggali tanah dan merosakkan pagar yang dipasang di zoo sebelum melarikan diri,” menurut pegawai berkenaan.
Imej yang disiarkan media tempatan menunjukkan haiwan itu berkeliaran di tengah jalan.
Pada 2023, seekor zebra jantan menjadi sensasi global selepas terlepas dari sebuah zoo di Seoul dan dilihat berkeliaran di jalan raya.
Zebra yang dinamakan Sero itu akhirnya berjaya ditangkap di sebuah lorong sempit, ditenangkan dengan ubat pelali dan dipulangkan ke kandangnya tanpa mengalami kecederaan. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






